Gerakan anti-Lynas tubuh pasukan peguam


shadow

Gerakan anti-Lynas menubuhkan sebuah pasukan peguam untuk mencabar pembinaan tapak pelupusan tetap (PDF) bagi menempatkan sisa radioaktif yang dihasilkan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.

Pembinaan PDF adalah syarat utama bagi Lynas untuk meneruskan operasinya di Gebeng.

Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu berkata kumpulan itu yang terdiri daripada 10 peguam terkenal akan meneliti pembinaan PDF berkenaan.

Beliau berkata pasukan itu diputuskan pada Jumaat lalu tetapi enggan menamakan mereka.

Seperti kilang Lynas di Gebeng, Liu berkata PDF itu juga menimbulkan kebimbangan tersendiri terutama di kalangan masyarakat setempat.

“Saya tidak fikir penduduk tempatan akan setuju,” katanya.

Pembinaan PDF belum ditentukan tetapi laporan mengatakan lima lokasi di Pahang telah disenarai pendek iaitu Lepar, Luit, Padang Tengku, Bukit Ibam dan Chini.

“Satu-satunya tempat yang sesuai untuk bina PDF ialah di padang pasir. Ia hampir mustahil,” katanya sambil menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan pencemaran air bawah tanah.

Liu juga menyatakan keraguan terhadap keupayaan Lynas untuk memindahkan operasi “cracking and leaching” iaitu peringkat yang mencipta sisa radioaktif, kembali ke Australia.

Beliau mempersoalkan sama ada Lynas boleh mendapatkan kelulusan kawal selia dari Australia.

Lynas melombong nadir bumi di Mount Weld di Australia Barat sebelum menghantarnya ke Malaysia untuk diproses.

Bagaimanapun, Lynas bersetuju memproses terlebih dahulu bahan berkenaan di Australia sebagai sebahagian daripada syarat lesen selepas kerajaan tidak membenarkan pengumpulan sisanya di Malaysia.

Kerajaan pada 15 Ogos mengumumkan lanjutan kepada lesen Lynas, tetapi menetapkan syarat bagi syarikat itu untuk membina PDF bagi menyimpan sisa radioaktifnya. 

  • malaysiakini


Tinggalkan komen anda