Hanya nampak topi, selipar


shadow

“SAYA hanya nampak topi dan seliparnya sahaja timbul di permukaan air,” kata Munir Abd Majid, 34, rakan kepada Makhtar Ibrahim, 59, yang jatuh ke laut ketika memancing berhampiran Pelantar Minyak Dulang, kira-kira 67.7 batu nautika dari muara Kuala Terengganu pada Sabtu lalu.

Menurut Munir, kejadian itu berlaku sekelip mata ketika dia bersama mangsa dan dua lagi rakan sedang asyik memancing, kira-kira 5.30 petang.

“Sebelum kejadian, tekong yang kami panggil Pak Usop sempat menegur Makhtar secara berseloroh selepas mata kailnya kerap disambar ikan.

“Saya menyedari kehilangannya selepas tergerak hati berpaling ke belakang untuk melihatnya yang duduk di sebelah kanan bot bersebelahan dengan tekong apabila berasa ada benda jatuh daripada bot.

“Melihat dia tiada di atas bot, saya segera menyuruh tekong memberhentikan bot dan berpatah balik untuk mencarinya.

“Kami tidak nampak apa-apa, selain topi dan selipar yang dipakainya timbul di permukaan air,” katanya ketika ditemui di Jeti Kampung Seberang Bukit Tumbuh, Kuala Nerus, hari ini.

Dia yang sudah lima tahun keluar ke laut bersama mangsa berkata, mereka mengambil masa hampir satu jam mencari mangsa di sekitar kawasan berkenaan sebelum memaklumkan kejadian itu kepada bot pelantar yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

“Dia jatuh tidak seperti kita melontar batu ke dalam air. Kami langsung tidak nampak kelibat dia di permukaan dan saya yakin dia jatuh disebabkan pengsan atau pitam,” katanya.

Menurut Munir, mangsa sebelum ini pernah memaklumkan menghidap darah tinggi, namun mangsa tidak pernah pitam atau pengsan sepanjang mereka ke laut bersama.

“Kejadian ini menyebabkan saya tawar hati untuk ke laut kerana terbayang kejadian itu memandangkan kami sangat rapat,” katanya yang berharap Makhtar ditemui segera.

-myMetro

Tinggalkan komen anda