Hari ke-50: Najib di belakang dakwaan gangguan seksual terhadap saya – Husni


shadow

 Perbicaraan jenayah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan dakwaan salah guna dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur masuk hari ke-50 hari ini.

Malaysiakini membawa laporan langsung perbicaraan.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

‘Najib terlibat dalam dakwaan gangguan seksual terhadap saya’

10 pagi: Bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah yakin Najib Razak adalah individu di belakang dakwaan dirinya melakukan gangguan seksual.

Dakwaan mengejutkan ini dibuat Husni ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee bertanya Husni berkenaan dokumen hansard parlimen bagi ucapannya pada 24 Oktober 2016.

Dalam ucapan itu, Husni berkata selepas dia membangkitkan kebimbangan terhadap cara 1MDB diuruskan, dia dilanda pelbagai dakwaan serius seperti rasuah dan gangguan seksual terhadap seorang pekerja perempuannya.

Shafee: Itu sebab anda kecewa (upset)?

Husni: Ya.

Shafee: Anda kaitkan (dakwaan gangguan seksual) dengan Najib?

Husni: Ya.

Shafee: (Dakwaan) Gangguan seksual oleh pekerja anda sendiri. Anda fikir Najib di belakang laporan gangguan seksual terhadap anda oleh pekerja anda sendiri?

Husni: Ya.

Shafee: Ada laporan polis terhadap anda?

Husni: Ya.

Muhammad Shafee Abdullah

‘Saya tipu untuk lindungi Najib’

9.50 pagi: Bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah berkata dia berbohong kepada media dan orang awam pada 2016, apabila berkata peletakan jawatannya tiada kaitan dengan 1MDB atau SRC International.

Dalam keterangannya, dia berkata tindakan itu atas rasa hormat kepada perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

“Yang Arif, anda mahu saya hormat PM atau tidak?

“Atas rasa hormat, saya beritahu kepada media, ia tak ada kaitan (dengan 1MDB dan SRC),” katanya ketika ditanya peguam Muhammad Shafee Abdullah berkenaan kenyataannya ketika wawancara bersama media dan ucapan di kawasannya ketika menjadi anggota parlimen Tambun.

Husni: Saya letak jawatan sebab Najib mahu pindahkan saya dan kerana Allah.


9.45 pagi: Pendengaran bersambung hari ini dengan bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah kembali sebagai saksi ke-56 pendakwaan.

Selepas beberapa soalan daripada DPP Muhammad Izzat Fauzan untuk pemeriksaan utama, mahkamah mendengar perincian oleh Husni berkenaan kelayakannya dalam bidang kewangan ketika pemeriksaan balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee kemudian meneruskan soalannya dengan bertanya sebab Husni meletakkan jawatan daripada kabinet pada 2016.

Menurut Husni, dia memberitahu perdana menteri ketika itu Najib Razak untuk menggugurkannya kerana Najib mahu memindahkannya ke kementerian ‘kerajaan tempatan’.

Dia juga menafikan laporan media berkenaan dia akan dipindahkan ke Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Ini yang keluar dari mulut PM (yang saya akan dipindah untuk mengetuai kementerian kerajaan tempatan).”

Katanya lagi, itu bukan satu-satunya sebab dia letak jawatan.

Dia berkata sudah berhasrat berbuat demikian sejak 2015 ketika diberi tanggungjawab melaksanakan pelan rasionalisasi hutang 1MDB berjumlah RM42 bilion.


9.16 pagi: Najib yang pada mulanya duduk di galeri awam masuk ke kandang tertuduh dan perbicaraan pun bermula.


Bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah mungkin akan terus memberi keterangan mengejutkan berkenaan 1MDB, dengan perbicaraan kes RM42 juta SRC International terhadap Najib Razak masuk hari ke-50.

Antara pendedahan menggamamkan yang dibuat Husni pada Selasa lalu ialah berkenaan bekas perdana menteri “autokratik” yang memberitahunya agar tidak campur tangan dalam 1MDB.

Walaupun menjadi orang nombor dua di Kementerian Kewangan, Husni juga berkata beliau hanyalah seperti “peon” atau budak pejabat dalam hal pembuatan keputusan untuk memberi jaminan kerajaan terhadap pinjaman RM2 bilion pertama kepada SRC International.

Peguam belas dijangka akan terus menyoal saksi ke-56 itu selepas memohon agar perbicaraan tidak dibuat semalam bagi membuat persediaan untuk hari ini.

Ia mungkin kerana keterangan Husni berisiko menyangkal hujah pembelaan bahawa Najib tidak sedar akan apa yang didakwa sebagai komplot ahli perniagaan Low Taek Jho dan bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dalam transaksi jutaan ringgit melibatkan akaun AmBank bekas perdana menteri itu.-Mkini

Tinggalkan komen anda