Hari ke-52: 4 suspek sekutu Jho Low ada di negara sama dengannya


shadow

Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd memasuki hari ke-52 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Malaysiakini membawa anda laporan secara langsung perbicaraan ini:


Bank Negara dapat dulu dokumen AmBank pada 2015 – IO SPRM

4.20 petang – Mahkamah mendengar pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain memberi keterangannya, berkata para penyiasatnya dalam kes SRC International telah melawat AmBank pada 6 Julai 2015 untuk mendapatkan dokumen bagi mempermudah siasatan mereka.

Antara dokumen yang dicari para penyiasat dari AmBank termasuk penyata bank berkaitan dengan akaun yang dimiliki oleh SRC International, akaun perdana menteri ketika itu Najib Razak, dokumen pengiriman wang, resit transaksi perbankan, dan cek.

Bagaimanapun, menurut Rosli, SPRM hanya boleh mendapatkan salinan fotokopi dari AmBank kerana mereka diberitahu bahawa pegawai Bank Negara telah mengambil dokumen berkenaan ketika mereka menyerbu bank itu pada hari yang sama.

Rosli memberitahu mahkamah, kemudian dia telah menulis surat kepada Bahagian Perisikan Kewangan Bank Negara untuk mendapatkan dokumen-dokumen yang diserahkan kepada SPRM.

Menurut keterangannya, SPRM menerima dokumen-dokumen yang mereka cari dari Bank Negara pada 30 Mei tahun lepas.


4 sekutu Jho Low yang dikehendaki ada di negara sama dengannya – Pegawai SPRM

3.45 petang: Empat sekutu Jho Low yang dikehendaki pihak berkuasa iaitu Jasmine Loo, Casey Tang, Terence Geh dan Eric Tan disyaki berada di negara-negara yang sama dengan ahli perniagaan dalam buruan itu, kata pegawai Penyiasat SPRM, Rosli Hussain.

Saksi ke-57 itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff.

Ishak: Selepas notis merah pada orang yang dinamakan kecuali Jho Low, maka apa yang berlaku?

Rosli: Kami memohon NCB diedarkan ke negara-negara yang sering dikunjungi atau negara yang dipercayai suspek berada di sana.

Ishak: Negara apa?

Rosli: Sama seperti yang saya sebutkan (seperti Jho Low), China, Hong Kong, Myanmar, Indonesia, Thailand, St Kitts dan Nevis.

Ishak: Adakah Notis Red dilaksanakan?

Rosli: Tidak sehingga hari ini.


Interpol HK diberitahu Jho Low di pantai Repulse Bay tahun lepas

3.15 petang – Pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussain memberi keterangan bahawa pihak berkuasa Malaysia telah memaklumkan kepada biro pusat kebangsaan Interpol Hong Kong tahun lepas mengenai keberadaan ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB, Low Taek Jho.

Menurut saksi, Low dan seorang lagi suspek dalam kes 1MDB, Tan Kim Loong, berada di Maggie and Rose Club di Repulse Bay.

Maklumat ini disampaikan kepada pihak berkuasa Hong Kong oleh Bukit Aman melalui e-mel yang dihantar pada 17 Jun 2018.

Bagaimanapun, beliau berkata pihak berkuasa Hong Kong tidak dapat mencari Low di sana.


Kali terakhir Jho Low dikesan di Lapangan Terbang Subang pada 29 Mei 2015

3.05 petang – Kali terakhir Jho Low dikesan ketika berada di terminal lapangan terbang Subang pada 29 Mei 2015, kata pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain ketika memberi keterangan di mahkamah hari ini.

Saksi ke-57 itu juga mengatakan Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dikesan kali terakhir di lapangan terbang KLIA, Sepang pada 7 Mei 2018.

“Jho Low kali terakhir dikesan berada di terminal Subang (Lapangan Terbang) pada 29 Mei 2015, manakala Nik Faisal kali terakhir di kesan apabila dia keluar dari KLIA pada 7 Mei 2018,” kata Rosli.


China, Myanmar mungkin antara kawasan persembunyian Jho Low, Nik Faisal

2.50 petang – SPRM mengesyaki ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB, Low Taek Jho dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Nik Faisal Ariff Kamil berada di beberapa negara Asia.

Menurut pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussain, negara-negara ini termasuk China (khususnya wilayah pentadbiran Khas Hong Kong dan Macau), Thailand, Indonesia, Myanmar, dan China.

Beliau berkata SPRM juga telah meminta Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan Notis Merah kepada kedua-dua individu yang menjadi buruan itu.

Notis Merah adalah permintaan untuk mencari dan menangkap seseorang sebelum diekstradisi.

Interpol telah mengeluarkan notis itu pada 11 Jun tahun lepas, kata Rosli.

Beliau menambah Malaysia membatalkan pasport Nik Faisal dan Jho Low pada 25 Julai dan 14 Jun tahun lepas.


Mahkamah keluarkan waran tangkap kepada Nik Faisal, Jho Low 

2.35 petang – Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap kepada Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil dan ahli perniagaan Low Taek Jho pada 22 Mei 2018.

Pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain memberitahu DPP Ishak Mohd Yusoff perkara itu semasa pemeriksaan utama.

“Pada 22 Mei 2018, Mahkamah Majistret KL mengeluarkan waran tangkap (untuk Nik Faisal dan Jho Low),” kata Rosli.

Beliau menambah bahawa ia bertujuan untuk membantu SPRM dalam siasatan kes itu.


‘Jho Low, Nik Faisal janji bantu siasatan SPRM pada 2015’

2.30 petang – Mahkamah diberitahu oleh pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussain bahawa penyiasat tidak mengenakan bon ikat jamin kepada ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB, Low Taek Jho dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil, kerana mereka telah berjanji untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa pada tahun 2015.

Rosli memberi keterangan itu ketika pemeriksaan utama oleh DPP Ishak Mohd Yusoff. Beliau berkata SPRM telah merekodkan keterangan dari Nik Faisal dua kali pada Oktober 2015.

Kedua-dua kenyataan itu telah diambil di Jakarta, Indonesia.

Menurut Rosli, pegawai SPRM juga telah merekodkan kenyataan dari Low pada 27 Nov 2015 di Abu Dhabi.

“Kerana kedua-dua mereka telah merekodkan kenyataan mereka dan mereka memberikan komitmen mereka, kami yakin mereka akan kembali ke Malaysia untuk bekerjasama dalam perbicaraan ini.

“Atas sebab ini, SPRM tidak mengenakan jaminan kepada mereka,” katanya.

Mahkamah kemudian diberitahu oleh Rosli bahawa, pada 14 Mei tahun lepas, SPRM telah meminta Jabatan Imigresen meletakkan Nik Faisal dan Low dalam senarai hitam perjalanan bersama empat orang lagi.


SPRM tak dapat cari ibu bapa Jho Low, kata pegawai

2.25 petang – Pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain dalam keterangannya berkata agensi anti-rasuah itu gagal mengesan ibu bapa Low Taek Jho di Pulau Pinang pada tahun 2015.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh DPP Ishak Mohd Yusoff.

“Pegawai saya cuba cari Jho Low di Pulau Pinang, di alamat rumah, (tetapi kami) tidak menemuinya di sana.

“Usaha mencari ibu dan ayahnya juga tidak berjaya.

“Pemeriksaan imigresen menunjukkan Jho Low telah keluar negara sejak 29 Mei 2015, dan tidak pernah kembali,” kata saksi ke-57.


2.19 petang – Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil meninggalkan negara ini dua hari sebelum pilihan raya umum ke-14 tahun lepas.

Pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain berkata kepada mahkamah bahawa perkara itu berdasarkan hasil penemuan agensi anti-rasuah berkenaan apabila cuba mencari Nik Faisal.

Rosli berkata siasatan juga mendapti ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB Low Taek Jho, yang juga dikenali sebagai Jho Low, telah meninggalkan negara ini pada 29 Mei 2015.

Sejak itu kedua-duanya belum pulang ke Malaysia, katanya.


2.15 petang: Najib memasuki kandang tertuduh apabila  prosiding bermula.

2.07 petang: Najib memasuki mahkamah dan mengambil tempat duduk di barisan hadapan galeri awam sambil menunggu prosiding bermula.

Awal pagi ini, bekas perdana menteri itu menghadiri pendengaran di Mahkamah Persekutuan berhubung usaha terakhirnya untuk menangguhkan perbicaraan 1MDB.

Bagaimanapun, mahkamah tertinggi itu sebulat suara menolak permohonannya hari ini, yang sekali gus membuka jalan untuk perbicaraan bermula pada 19 Ogos.

Perbicaraan 1MDB didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah.


Peringkat pendakwaan dalam kes perbicaraan Najib Razak membabitkan dakwaan penyelewengan sebanyak RM42 juta dana SRC International menghampiri garisan penamat apabila pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussain dijangka menyambung semula keterangannya hari ini.

Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri itu yang masuk hari ke-52 atas dakwaan salahguna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram hanya akan disambung semula pada pukul 2 petang.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan prosiding dimulakan lewat kerana Najib dan pasukan pembelaan perlu menghadiri pendengaran pada sebelah pagi di Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas perdana menteri untuk menangguhkan perbicaraan kes 1MDB yang dijadualkan bermula pada Isnin, 19 Ogos ini.-MKini

Tinggalkan komen anda