Hutang dengan pencetak, Harakah serah pada peguam


shadow

Harakah akan mengikut segala nasihat peguamnya bagi menyelesaikan isu hutang tertunggak dengan sebuah syarikat pencetak yang kini dikatakan telah muflis, menurut sumber dalaman akhbar yang menjadi lidah rasmi PAS itu.

Sumber itu berkata, pihak pengurusan Harakah menyerahkan kepada peguam untuk menguruskan isu itu.

“Perkara ini sudah berada dalam proses perundangan dan peguam sudah dilantik bagi menguruskannya.

“Pihak pengurusan Harakah akan akur dan akan bertindak mengikut nasihat peguam,” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Sumber itu juga berkata peguam tersebut telah memberi taklimat kepada pengurusan Harakah berkenaan perkembangan isu tersebut.

Pada 28 Ogos lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengesahkan Harakah memiliki hutang tertunggak dengan sebuah syarikat yang pernah menjadi pencetak akhbar itu.

Namun beliau menafikan dakwaan akhbar itu sengaja lari daripada syarikat tersebut – Angkatan Edaran Sdn Bhd (Angkatan Edaran) – dan memilih syarikat pencetak yang lain.

“Sebenarnya syarikat yang dulu itu (pencetak lama) sudah muflis, jadi sebab itulah (tukar).

“Saya tak nak bangkitkan, tapi mengenai kita ada tunggakan (dan) sengaja lari itu tidak betul,” katanya.

Bagaimanapun Pengarah Urusan Angkatan Edaran Azlan Jan berkata hutang tetap perlu dibayar walaupun syarikat itu muflis.

Justeru, beliau berharap satu penyelesaian yang baik dapat dicapai dengan parti itu dan sentiasa terbuka untuk untuk berunding.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda