Isa Samad akan fail representasi bagi kes rasuah, pecah amanah


shadow

Bekas pengerusi Felda Isa Abdul Samad akan memfailkan representasi kepada Pejabat Peguam Negara bagi kes rasuah dan pecah amanah berjumlah RM3 juta.

Peguam Salehuddin Saidin memberitahu hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkenaan rancangan anak guamnya itu semasa pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

“Kami akan failkan representasi kepada Pejabat Peguam Negara. Hari ini kami akan failkannya,” katanya ketika prosiding.

Surat representasi ialah cara yang boleh digunakan tertuduh untuk sama ada mengurangkan atau menggugurkan pendakwaan jenayah terhadapnya.

Nazlan kemudian mengingatkan Salehuddin yang sebarang perkembangan baru berkenaan perkara itu perlu dimaklumkan kepada mahkamah.

“Berkenaan (surat) representasi, jika ada apa-apa perkembangan, (anda) perlu tulis kepada mahkamah,” katanya.

Hakim kemudian menetapkan 23 September ini untuk sebutan bagi memberi kemas kini kepada mahkamah berkenaan status perkara itu.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Afzainizam Abdul Aziz mewakili pihak pendakwaan hari ini yang membabitkan pertukaran dokumen.

Salehuddin juga memberitahu mahkamah bahawa beliau kini peguam rasmi Isa, menggantikan peguam K Kumaraendran dan Ridha Abdah Subri.

Pada 11 April lalu, Mahkamah Tinggi dilaporkan menetapkan 13 hari untuk mendengar kes Isa, bermula 7 Oktober ini.

Isa yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan berdepan satu tuduhan pecah amanah jenayah dan sembilan tuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta. Beliau mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan.

Beliau didakwa pecah amanah dengan meluluskan cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak, pada harga RM160 juta, tanpa kelulusan daripada lembaga pengarah Felda.

Tuduhan pecah amanah jenayah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, rotan dan denda, jika sabit kesalahan.

Berkenaan tuduhan rasuah, beliau didakwa menerima wang berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, yang merupakan anggota lembaga pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, melalui Muhammad Zahid Md Arip.

Isa didakwa menerima wang itu bagi membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel Suites oleh FIC Sdn Bhd.

Semua kesalahan didakwa dibuat di Menara Felda antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda