Isu Zakir Naik: Sarang tebuan usah dijolok – Shahrulezad


shadow

Pengarah drama Nur, Shahrulezad Mohameddin mengingatkan agar tiada sesiapa cuba mengeruhkan lagi keadaan yang sudah panas berhubung polemik keberadaan penceramah Dr Zakir Naik di negara ini.

Shahrulezad menegaskan, jangan mencabar keharmonian yang dipelihara dengan rapi.

“Sarang tebuan jangan dijolok ye,” katanya di Instagram.

Mengiringi perkongsian berkenaan, Shahrulezad memuat naik kenyataan daripada seorang netizen yang berkata, kaum Cina sudah lama membangunkan ekonomi supaya kaum Melayu tidak perlu menanam ubi kayu di kampung.

Pada Khamis lepas, Zakir Naik ketika mengulas pertuduhannya di India, berkata rakyat Malaysia beragama Hindu lebih menyokong kerajaan India berbanding Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Zakir juga telah membuat beberapa kenyataan mengenai orang Cina Malaysia memanggilnya sebagai “tetamu lama” .

Zakir mendakwa kenyataannya mengenai rakyat Hindu Malaysia telah dipetik secara salah.

Bagaimanapun, pendakwah itu belum memberi maklum balas berhubung kenyataannya mengenai orang Cina rakyat Malaysia.

Menjelaskan lanjut, Shahrulezad berkata, kenyataan yang dibuatnya itu bukan kerana dia seorang rasis.

“Dalam pada kami tak suka bersikap rasis sesama kaum atas dasar toleransi tapi dalam masa sama jangan sesekali kejutkan harimau yang sedang tidur.

“Melayu kalau dah mula berasa terancam memang bahaya jadinya nanti.

“Bukan nak cari gaduh tapi cuma nak pesan. Jangan sesekali cuba bermain dengan api. Tu je abam nak cakap,” katanya.

Shahrulezad turut mempersoalkan di mana menteri Melayu dalam kerajaan dan pembangkang apabila isu seperti ini muncul.

“Takkan nak harapkan Tun Mahathir seorang saja yang belasah NGO Dong Zong yang kiasu mcm tu,” katanya.

Dia mengakhiri kenyataan itu dengan meletakkan tanda pagar #macamsepenggaljegayanya.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda