Jawi dan rapuhnya perpaduan


shadow

ULASAN | Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang berkenaan kerana berjaya mempopularkan perkataan khat atau seni khat. Sebenarnya, sebelum ini saya tidak pernah mendengar perkataan ini. Samalah seperti saya tidak pernah mendengar istilah “Bahasa Baku” sebelum Anwar Ibrahim perkenalkannya sebagai menteri pendidikan, atau perkataan “liwat” yang menjadi popular sekitar tahun 1998.

Isu khat ini nampaknya berjaya menyatukan semua rakyat Malaysia untuk sama-sama berbeza pandangan mengenai 6 daripada 162 mukasurat buku teks Bahasa Melayu. Tahniah kerana ia hanya memerlukan 6 mukasurat dalam tulisan Jawi untuk mendedahkan betapa rapuhnya perpaduan masyarakat di negara kita setelah 62 tahun mencapai kemerdekaan.

Isu ini berjaya seketika untuk mengalihkan fokus kita daripada isu-isu yang lebih besar seperti isu alam sekitar dan pencemaran udara walaupun jerebu kembali menyelubungi langit kita sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Isu ini juga berjaya seketika untuk mengalihkan fokus kita daripada isu-isu seperti harga barangan yang meningkat, gaji yang masih rendah dan masalah pokok lain yang dihadapi oleh rakyat setiap masa.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada masa ini cuba mencelah dengan melontarkan isu mengenai MySalam dan Tongkat Ali, iaitu dua isu yang jauh lebih penting di mana kepentingan golongan korporat sedang menafikan hak rakyat biasa.

Namun, isu-isu ini tidaklah sesensasi isu khat atau isu video seks, yang menjadi naratif utama dalam politik negara kita hari ini. Dalam seminggu yang lepas ini, isu khat berjaya menumpukan perhatian rakyat dari semua kaum dan agama, dan didebat secara meluas walaupun pandangan mereka berpecah mengikut kaum dan agama masing-masing.

Melihat mesej-mesej dalam kumpulan-kumpulan perbulan WhatsApp, termasuk kumpulan WhatsApp yang diikuti oleh ahli-ahli PSM, maka saya menulis satu hujah pendek kepada ahli-ahli PSM:

“Saya rasa isu khat ini seperti semua isu lain, sudah pun menjadi isu politik dan perkauman. PSM harus fokus kepada isu-isu yang boleh membawa rakyat Malaysia bersama seperti isu gaji, alam sekitar, kenaikan kos hidup, harga rumah dan sebagainya kerana isu-isu ini adalah isu penting. Selalunya isu macam khat, kuil Seafield dan sebagainya diberi publisiti yang meluas kerana ia dapat memecah-belahkan rakyat dan tidak akan menguntungkan rakyat majoriti. Kita kena selalu fokus pada isu-isu yang boleh menyelesaikan masalah ekonomi dan kehidupan kita. Isu perkauman dan agama hanyalah isu yang memesong kita daripada melihat isu-isu yang sebenar.”

Kekuatan kepelbagaian menjadi rapuh

Semasa saya di sekolah rendah, seronok juga saya belajar tulisan Jawi. Ada buku tulisan dengan garisan biru berselang merah. Seronok kita sebut huruf alif, ba, ta, jim, ca dan sebagainya, manakala kawan-kawan Melayu dan Cina seronok juga mengira dalam bahasa Tamil dengan Oṉṟu iraṇṭu mūṉṟu nāhlu, dan kami pula seronok mengira dalam bahasa Cina (kantonis) yat yi sam sei (mati).

Namun, hari ini semua kepelbagaian dan kemajmukan dalam masyarkat kita sudah menjadi senjata persengketaan yang mengundang memorandum, protes, sidang akhbar dan buangan telur. Apa sudah jadi kepada negaraku, tanah tumpah darahku?

Mengapa kepelbagaian dan kemajmukan dalam masyakat kita yang merupakan sesuatu kekuatan itu boleh menjadi begitu rapuh apabila menghadapi ujian-ujian seperti 6 mukasurat seni khat dalam buku teks. Di mana silapnya?

Untuk memahami masalah ini secara serius, kita perlu meninjau pengalaman sistem pendidikan dan isu bahasa sejak zaman merdeka. Masalah yang kita hadapi sekarang ini adalah lanjutan masalah yang sudah mula bertapak sejak zaman penjajahan lagi.

Kita kena meneliti sedikit sejarahnya. Kita kena meneliti sedikit tentang sistem pendidikan negara yang bermula dengan Laporan Barnes 1951 diikuti dengan oleh Penyata Razak 1956, Ordinan Pelajaran 1957, Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961 sehinggalah Akta Pelajaran 1996 dan seterusnya.

Matlamat Akhir

Bagi orang Melayu, ekonomi negara kita sejak dulu lagi dimonopoli oleh orang Cina walaupun pada hakikatnya pihak penjajah memiliki 70 peratus ekonomi negara pada zaman sebelum merdeka. Dasar pecah dan perintah oleh Inggeris, sistem segregasi pekerjaan dan penempatan, juga membantu dalam melebarkan jurang antara kaum. Rasa kesangsian dan ketidakpercayaan oleh masyarakat Cina dan India sudah mula berbenih dari dulu lagi dalam isu persoalan bahasa ibunda dan sekolah Cina dan Tamil.

Sebelum merdeka lagi, Laporan Barnes mengusulkan untuk menghapuskan sekolah Tamil dan Cina. Mukasurat 23-24, Laporan Barnes 1951 menyatakan, “In principle, we recommend the end of the separate vernacular schools for the several racial communities and the replacement by a single type of primary school common to all.”

Penyata Razak 1956 yang diterbit sejenak sebelum merdeka mengatakan bahawa matlamat akhir adalah membawa semua pelajar dibawa satu sistem persekolahan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama walaupun ada dinyatakan bahasa-bahasa lain boleh juga dikembangkan.

Namun, ada satu perkataan yang menjadi amat kontroversi pada masa itu iaitu perkataan “the ultimate objective ” atau matlamat akhir, di mana misi muktamadnya adalah membawa semua pelajar di bawah satu sistem persekolahan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Ia ditafsir oleh golongan pejuang bahasa ibunda sekolah Tamil dan Cina bahawa maksud matlamat akhir ini adalah untuk menutup sekolah Cina dan Tamil pada masa depan.

Setelah banyak protes dan bantahan di mana dikatakan sebanyak 151 memorandum telah dihantar mengenai perkara ini, maka perkataan kontroversi “ultimate objective” telah digugurkan dan digantikan dengan membenarkan pendidikan bahasa ibunda lain berkembang secara seiring. Ini kemudiannya diikuti dengan Ordinan Pelajaran 1957 yang membenarkan bahasa ibunda lain berkembang bersama dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

Memetik teks asal, “The Education policy of the Federation is to establish a national system of education acceptable to the people of the Federation as a whole which will satisfy the needs to promote their culture, social, economic and political development as a nation, with the intention of making Malay language the national language of the country whilst preserving and sustaining the growth of the language and culture of peoples other than Malays living in the country”.

Ia boleh diterjemahkan sebagai “Dasar Pendidikan Persekutuan adalah untuk membentuk sistem pendidikan nasional yang dapat diterima oleh rakyat Persekutuan secara keseluruhan yang akan memenuhi keperluan untuk menggalakkan pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik mereka sebagai sebuah negara, dengan niat untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini sambil memelihara dan mengekalkan pertumbuhan bahasa dan budaya kaum selain orang Melayu yang tinggal di negara ini”.

Ordinan pelajaran 1957 mendapat sokongan daripada semua kumpulan kaum di negara kita.

Namun demikian, Laporan Rahman Talib 1960 sekali lagi menggunakan istilah matlamat akhir atau ultimate objective. Laporan ini menuntut menghapuskan bahasa ibunda di peringkat sekolah menengah. Ini diikuti pula dengan pindaan dalam Akta Pelajaran 1961 di mana apa yang ditekankan adalah Dasar pendidikan Persekutuan bertujuan untuk menubuhkan satu sistem pendidikan kebangsaan yang akan memupuk perkembangan kebudayaan, ekonomi dan politik negara ini, di samping menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan langsung tidak disebut mengenai mengekalkan perkembangan bahasa lain selain bahasa Melayu.

Jika meneliti Akta Pelajaran 1961, maka ideologi pemerintah semakin diragui oleh kaum-kaum selain kaum Melayu. Mereka bimbang tentang sekolah menengah bahasa ibunda ditukar kepada sekolah kebangsaan manakala ada keraguan bahawa pendidikan bahasa ibunda di sekolah rendah boleh ditukar bila-bila masa kepada hanya menggunakan Bahasa Kebangsaan.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang menekankan Islam sebagai komponen penting dalam membentuk budaya kebangsaan juga telah menimbulkan kegusaran di kalangan golongan bukan Islam. Hubungan perkauman menjadi lebih renggang lagi setelah Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan, di mana wujudnya isu-isu berkaitan dengan Dasar Bumiputera seperti sistem kuota, diskriminasi dalam memberi bantuan kewangan pendidikan atau biasiswa, pekerjaan dalam perkhidmatan awam dan kuota perumahan.

Inisiatif perpaduan akan disangsi

Apabila isu khat dibincangkan hari ini, sebenarnya hanya segelintir kecil yang berbicara tentang isu seni dan sebagainya, manakala majoriti rakyat yang sudahpun dihasut dengan fahaman perkauman yang tebal, hanya melihat ini sebagai satu langkah untuk memperjuangkan imej dan identiti kaum masing-masing.

Orang Bukan Melayu dan pejuang pendidikan sekolah vernakular melihat ini sebagai satu langkah tersirat untuk melaksanakan sedikit demi sedikit matlamat akhir kerajaan yang akan menguburkan pendidikan sekolah Cina dan Tamil.

Orang Melayu pula melihat ini sebagai satu lagi tindakan oleh kaum minoriti untuk mencabar “Ketuanan Melayu”. Keadaan ini menjadi lebih parah lagi dengan adanya parti-parti politik dan NGO yang berlandaskan sentimen kaum dan agama masing-masing. Ia menjadi tidak terkawal pula dengan alam siber di mana pelbagai berita boleh menjadi viral.

Jadi, setiap kali sesuatu cuba diperkenalkan oleh kerajaan walaupun betapa murni hasratnya seperti Sekolah Wawasan dulu, ia akan mendapat tentangan hebat kerana langsung tiada kepercayaan kepada motif dan misi sebenar kerajaan.

Pelbagai cubaan seperti slogan 1Malaysia, Budaya Kebangsaan dan sebagainya, langsung tidak dapat menyatukan masyarakat. Isu khat adalah satu contoh baik bagaimana 6 mukasurat dalam buku teks boleh menjadi satu kontroversi yang begitu hebat dan luas.

Tugas pemerintah bina kepercayaan

Dari dulu lagi, satu isu pokok tidak selesai adalah kita gagal mempunyai satu identiti Malaysia tetapi kita berpegang kuat kepada identiti kaum masing-masing. Perlu ada satu proses pembentukan idelogi dan keutamaan nasional melalui penyertaan rakyat daripada semua kaum dan agama untuk membentuk identiti bersama ini. Perlu adanya satu proses yang melibatkan rakyat berbilang kaum, jantina, agama, usia, pekerjaan dan daerah serta negeri dalam pembentukan ideologi dan pembinaan semula keutamaan-keutamaan nasional agar mewujudkan persefahaman yang lebih jitu di kalangan kaum, agama dan budaya.

Selain itu, setiap rakyat Malaysia harus mendapat hak pendidikan yang sama rata di mana adalah menjadi tugas pemerintah untuk menyediakan peluang pendidikan percuma di semua peringkat dengan mewajibkan pendidikan di peringkat rendah dan menengah, dan membuat perancangan sosioekonomi untuk memastikan wujudnya peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang.

PSM juga berpendirian bahawa apabila satu dasar pendidikan digubal, kita harus memastikan penyertaan guru dan pelajar dalam proses menentukan haluan sistem pendidikan nasional. Ahli-ahli politik seharusnya tidak campurtangan dan membenarkan dasar pendidikan digubal oleh golongan-golongan yang mempunyai kepakaran dan kepentingan sahaja.

Untuk Dasar Bahasa pula, saya ingat hari ini semua pihak boleh bersetuju bahawa Bahasa Melayu harus dijunjung sebagai bahasa perantaraan, manakala semua bahasa lain berhak dan berpeluang untuk dikembangkan tanpa sekatan dan prasangka. Ini adalah posisi pada tahun 1957 yang diterima oleh semua pihak dan dan ia harus dimuktamadkan supaya isu prasangka itu boleh dikuburkan.

Ada satu psikologi yang pernah diberitahu oleh seorang aktivis Sri Lanka kepada saya. Beliau berkata, apabila negara itu mempunyai Dasar Satu Bahasa, maka negara itu berpecah kepada dua, kerana orang yang tidak tahu bahasa itu, akan terasa tergugat dan memperjuangkan bahasa mereka, tetapi apabila tiada satu bahasa rasmi, maka semua orang akan belajar bahasa rakyat majoriti.

Saya percaya formula yang serupa sebenarnya ada kebenaran untuk negara kita. Apabila kerajaan mengatakan Matlamat Akhir adalah menjadikan sistem satu jenis sekolah, maka sekolah Cina dan Tamil akan terasa tergugat dan mereka akan membuat kempen dan sebagainya untuk memastikan sekolah mereka akan terus kekal.

Jika pemerintah tidak ada misi agenda Matlamat Akhir, maka saya rasa akan ada proses secara semulajadi untuk belajar pelbagai bahasa dan seni tanpa was-was dan prasangka. Dalam suasana itulah, perkara seperti seni khat dalam buku teks akan dapat diterima tanpa prasangka.

Saya sesunguhnya percaya bahawa hanya ada satu bahasa sahaja yang dapat menjadi bahasa perantaraan semua kaum di negara kita dan ia adalah Bahasa Melayu. Ini adalah sesuatu yang benar berdasarkan fakta dan realiti. Apabila orang biasa India, Melayu dan Cina bertutur, mereka akan menggunakan Bahasa Melayu dan Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan. Mungkin adanya orang berpendidikan tinggi biasa bercakap dalam Bahasa Inggeris, tetapi bahasa yang digunakan oleh majoriti rakyat kita masih adalah Bahasa Melayu.

Namun, untuk melaksanakan ini, perlu ada komitmen tinggi daripada parti pemerintah. Masalahnya adalah parti pemerintah terus bermain politik kaum dan agama demi kepentingan masing-masing. Andaikata sistem ekonomi kita berlandaskan sistem kuota berlandasan keperluan dan bukannya kaum, maka anak semua rakyat berpendapatan rendah mempuyai peluang yang sama untuk maju ke depan tanpa rasa diskriminasi dan terpinggir. Mereka akan mempunyai peluang untuk melibatkan diri dalam membina negara dengan budaya dan kepentingan nasional yang lebih kukuh.

Biar saya akhiri tulisan ini dengan memetik perbilangan adat perpatih yang indah ini :

Jika berdiri sama tinggi

Jika duduk sama rendah

Hilang sama dicari

Cicir sama dipungut

Hutang sama dibayar

Piutang sama diterima

Ringan sama dijinjing

Berat sama dipikul

Bukit sama didaki

Lurah sama dituruni

Hati kuman sama dicicah

Hati gajah sama dilapah

Bulat air kerana pembentung

Bulat manusia kerana muafakat

Adat lalu ditempat terang

Muafakat lalu dalam gelap

Adat di atas tumbuhnya

Muafakat di atas buahnya

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda