Kadir ulangi ‘anak raja tak kebal jika pukul orang’


shadow

Perlembagaan Persekutuan dan negeri memang memberikan kekebalan kepada Raja-raja Melayu tetapi ini terhad kepada menjalankan tugas rasmi sahaja, kata Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin.

“Anak raja tidak kebal. Tetapi anak raja mungkin jadi kebal kalau dilantik menjadi pemangku raja tetapi tetap terhad kepada tugas rasmi saja.

“Mereka tidak kebal kalau melakukan jenayah seperti memukul orang atau menipu rakan kongsi perniagaan.diakan raja-raja dengan keistimewaan ini tetapi hanya terhad kepada tugas rasmi,” katanya ketika mengulas kekebalan raja di blognya, hari ini.

Pada 11 Ogos lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan melantik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Pemangku Raja Johor.

Tiada penjelasan diberikan berhubung pemasyhuran Tunku Ismail sebagai pemangku Raja Johor. Lazimnya, seorang wakil dilantik untuk memangku ketika raja atau sultan sedang gering atau tidak hadir pada mana-mana majlis.

Sementara itu, Kadir yang juga adalah penasihat media dan komunikasi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata seorang sultan pernah dihadapkan ke mahkamah khas kerana dituduh menghina seorang wanita yang dikatakan rakan kongsi perniagaannya.

“Wanita tersebut mengemukakan saman sivil di Mahkamah Khas Raja-raja tetapi kes itu dibuang kerana hakim membuat keputusan bahawa orang asing tidak boleh menyeret raja Melayu ke mahkamah.

“Wanita yang mengemukakan saman sivil tersebut adalah warganegara Singapura,” katanya tanpa mendedahkan butiran mengenai perkara itu.

Kadir berkata atas sebab itulah beliau meminta Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador supaya membuka semula kes-kes jenayah yang membabitkan keluarga diraja.

“Tapi saya tidak tahu beliau buat atau tidak. Wallahuaklam,” katanya.

Kadir berkata beliau kini memohon Latheefa Koya yang baru dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM untuk menyiasat kegiatan melombong dan mengeksport pasir.

“Saya dimaklumkan bahawa pasir masih dieksport, khususnya ke Singapura, dengan bertopengkan silika. Ikut maklumat, pasir tidak boleh dieksport tapi silika (untuk buat kaca) boleh,” katanya.

Mengulas kenyataan Latheefa sendiri yang kata majoriti yang ditangkap rasuah adalah kakitangan awam, Kadir melahirkan kebimbangan bahawa mungkin ada “little Napoleon” dalam agensi penguatkuasaan di Johor yang sedang “bersubahat main kayu tiga” dengan kerajaan.

“Lembaga Hasil Dalam Negeri pun boleh buka siasatan ke atas pelombong dan pengeksport pasir ini. Manalah tahu takut mereka terlupa isytihar cukai,” katanya.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda