Kakitangan Utusan akan dibantu cari kerja baru – Mahfuz


shadow

Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), akan membantu kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad yang mungkin hilang pekerjaan akibat kemelut kewangan dihadapi syarikat akhbar harian itu, untuk mendapatkan kerja baharu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, Perkeso akan cuba mendapatkan padanan kerja untuk kakitangan terlibat dan bagi yang mencarum di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) pula, pelbagai faedah layak dituntut jika mereka hilang pekerjaan.

“Bila mereka hilang pekerjaan kita akan bayar dan bagi kes kakitangan Utusan ini, ada yang telah kita bantu sebahagian daripada mereka untuk dapatkan kerja tetapi dalam sektor lain,” katanya ketika mengulas mengenai situasi yang menimpa Utusan kepada pemberita di Alor Setar, hari ini.

Katanya bermula 1 Disember 2018, bagi pekerja yang hilang pekerjaan dan cukup mencarum minimum 11 bulan, mereka layak menuntut faedah penuh SIP seperti Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) dan Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB).

Dalam pada itu, katanya kementeriannya sebelum ini juga sudah mengadakan pertemuan dengan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) serta pengurusan Utusan bagi membincangkan mengenai pembayaran pampasan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) kepada kakitangan yang memilih untuk mengambil VSS.

“Masa perbincangan awal kata putus berjaya dicapai tapi malangnya pengurusan Utusan gagal untuk mematuhi dan memenuhi perjanjian yang dibuat hingga menyebabkan pembayaran pampasan VSS tertangguh dan ia turut menyebabkan kelewatan pembayaran gaji kakitangan.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan mengikut perundangan, majikan yang gagal mematuhi perjanjian dan syarat boleh dikenakan tindakan. Kita jumpa lagi pihak pengurusan Utusan dan NUJ tapi buat masa ini saya masih belum dapat maklumat mengenai hasil pertemuan itu,” katanya.

Semalam, lebih 100 pekerja Utusan Melayu (M) Berhad mengadakan demonstrasi di luar ibu pejabat mereka bagi menuntut tunggakan gaji selama dua hingga tiga bulan, sebelum pekerja dimaklumkan operasi syarikat akan ditutup jika tiada jalan penyelesaian untuk membayar gaji pekerja yang tertunggak.

Terdahulu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menyampaikan sumbangan kepada 300 pelajar dalam Parlimen berkenaan yang layak menyambung pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

– Bernama

Tinggalkan komen anda