Karnival merakyatkan Rahmatan Lil Alamin


shadow

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof mengumumkan penganjuran Karnival Rahmah 2019 yang akan diadakan pada September depan.

Beliau berkata acara itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk merakyatkan gagasan Rahmatan Lil Alamin dan diharap dapat memberi pendedahan kepada orang ramai berkenaan gagasan pentadbiran Islam oleh kerajaan.

Di sebalik nama itu, katanya, acara itu menyasarkan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Katanya, meskipun program berkenaan dinamakan Karnival Rahmah 2019 namun ia merupakan sebuah karnival yang mensasarkan seluruh rakyat Malaysia untuk hadir tanpa mengira kaum, bangsa atau agama.Iklan

“Ia satu karnival untuk mengajak orang ramai untuk hidup dalam hormani dan hormat-menghormati. Walaupun disebut Karnival Rahmah, orang ingat ada unsur Islamik (semata-mata) dan tak ada kena mengena dengan orang lain, tetapi sebenarnya ia untuk semua kerana ia salah satu keperluan dalam Maqasid Syariah.

“Karnival ini akan dibuat berkonsepkan ‘karnival dalam karnival’ dan dijayakan melalui rakan-rakan strategik daripada pelbagai agensi, kementerian dan juga pihak swasta,” katanya semasa melancarkan logo Karnival Rahmah 2019 di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Putrajaya, petang tadi.

Turut serta pada pelancaran itu ialah Ketua Pengarah Jakim Nordin Ibrahim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Mohd Ajib Ismail.

Selain itu, Mujahid turut menyeru mana-mana pihak sama ada daripada sektor kerajaan atau swasta untuk turut serta menjadi rakan strategik bagi menjayakan karnival berkenaan.

Karnival Rahmah 2019 akan dianjurkan di tiga lokasi iaitu Putrajaya, Pulau Pinang dan Kelantan.

Lokasi pertama iaitu Putrajaya akan diadakan pada 26 hingga 29 September depan bertempat di Dataran Putrajaya.

Maklumat lanjut bagi acara itu boleh didapati di laman Facebook dan Instagram ‘OFFICIALKARNIVALRAHMAH’ dan menerusi tanda pagar #karnivalrahmah2019.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda