Kenali burung unta


shadow

Selain mandi pantai, berkelah dan melakukan aktiviti sukan air, apa yang ‘best’ di Port Dickson? Acap kali persoalan itu diajukan jika ada ahli keluarga yang mengesyorkan untuk bercuti di sana.

Jawapannya, ada ladang burung unta dan lokasinya pula tidak begitu sukar dicari. Jika pengunjung datang dari arah Lukut atau Lebuhraya Seremban-Port Dickson, ia akan ditemui selepas Pantai Teluk Kemang.

Di situlah terletaknya PD Ostrich Show Farm yang menempatkan lebih 20 ekor spesies burung terbesar di dunia yang dikenali dengan nama saintifiknya Struthio camelus.

Bagi yang mahu beriadah bersama keluarga terutama pada hujung minggu, ladang burung unta berkonsepkan zoo mini dan ala safari ini memberi peluang kepada pengunjung melihat sendiri serta mengenali lebih dekat haiwan unik ini.

Selepas membeli tiket masuk berharga RM15 untuk dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak, pengunjung boleh mula meneroka kawasan itu yang turut menempatkan pelbagai haiwan lain termasuk kambing, keldai, arnab, tikus belanda, lembu dan unta.

Untuk menambah keseronokan, makanan haiwan seperti daun lalang boleh dibeli pada harga RM6 supaya pengunjung dapat memberi makan kepada haiwan itu.

Perasaan takut atau gerun mungkin akan dirasai pada mulanya tetapi dengan cara serta teknik yang betul, daunan di tangan pasti habis dimakan oleh burung unta itu.

Difahamkan, haiwan berbulu pelepah berketinggian sehingga tiga meter dan berat maksimum 150 kilogram itu tidak boleh terbang namun kedua paling laju selepas harimau kumbang dan mempunyai jangka hayat mencecah 50 tahun.

Kini, burung unta paling tua yang ada di situ berusia 25 tahun bernama Dandan. Untuk mengetahui jantina burung unta pula, lihat pada warna bulu dan paruhnya. Jika bulunya berwarna hitam dan berparuh merah, ia adalah jantan manakala betina memiliki bulu berwarna kelabu dan paruh hitam.

Di pertengahan jalan, pengunjung akan bertemu dengan Puteri Rajen, burung unta betina yang manja dan sentiasa sedia untuk berswafoto kerana ia bebas berkeliaran di luar kandang.

Burung unta juga haiwan unik yang sangat sensitif. Ia suka dibelai, tetapi bertindak agresif jika berasa dirinya diganggu.

Persekitaran yang tenang dengan kehijauan kawasan sekeliling membuatkan penerokaan di ladang ini cukup mendamaikan.

Selain mengenali dengan lebih dekat burung unta ini, pengunjung juga berpeluang melihat sendiri dan berdiri di atas telur burung unta yang sememangnya cukup mengujakan.

Menunggang burung unta juga antara aktiviti yang cukup menyeronokkan menanti di ladang ini. Namun sebelum menunggangnya, pengunjung perlu mendengar taklimat cara yang betul untuk duduk di atas burung unta. Ini kerana jika tersalah teknik, pengunjung boleh terjatuh.

REPLIKA dinosaur yang ada di taman “Extreme Jungle Park PD Ostrich” tarikan pelancongan yang terdapat Jalan Perdana Teluk Kemang Port Dickson. FOTO: Hasriyasyah Sabudin

Terletak hanya bersebelahan kawasan ini, terdapat Dinosaurs in the Jungle yang menempatkan replika dinosaur bersaiz satu perempat dan satu perenam daripada saiz sebenar haiwan.

Lebih menarik, ada kesan tapak kaki saiz sebenar haiwan prasejarah terbabit pada laluan masuk ke hutan berkeluasan 200 meter persegi yang menempatkan tujuh replika dinosaur binaan gentian kaca itu.

Pada hujung minggu, tempikan dinosaur hasil daripada kesan bunyi khas yang dibina juga akan kedengaran dalam hutan itu yang membuatkan suasana seakan-akan haiwan prasejarah itu wujud.

Selain berpeluang bergambar dengan replika terdiri daripada beberapa spesies termasuk Phuwiangosaurus, Achelousaurus, Marchosaurus, Drinker dan Tyrannosaurus, papan tanda dipasang pada setiap replika untuk menceritakan sejarah haiwan itu.

Sepanjang pengunjung melawat hutan itu, seorang kakitangan akan turut serta bagi memberikan penerangan lebih lanjut.

Jangan lupa juga berkunjung ke Port Dickson Extreme Jungle Park yang menawarkan pelbagai aktiviti lasak antaranya menunggang ATV (All-Terrain Vehicle), memanah dan paintball.

Pengunjung boleh mencuba semua aktiviti yang terdapat di sini dengan harga berpatutan hanya di satu lokasi yang sama.

Dibuka setiap hari dari jam 9.30 pagi hingga 6 petang, kunjungan ke tiga lokasi ini sememangnya berbaloi buat anda sekeluarga.

  • myMetro

Tinggalkan komen anda