Kesal gajet ‘temani’ anak


shadow

HIDUP tak seindah diharap, ada saat suka dan berada di puncak namun ada kalanya jatuh tersungkur tanpa kata. Begitulah asam garam sebuah kehidupan, tidak selamanya tenang dan tak pula terus tenggelam.

Wanita ini berdepan satu persatu ujian hidup tatkala anaknya disahkan mengalami masalah lambat bercakap hingga menyebabkan dia terpaksa berhenti bekerja dan pada masa sama perlu menanggung hutang pinjaman peribadi melebihi RM100,000.

Memulakan bicara, Khazairulamira Md Khazali, 31, berkata, dia mula berkhidmat sebagai konstabel wanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2007 ketika berusia 19 tahun.

“Saya kemudian berkahwin dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki. Rutin harian saya amat sibuk hingga kurang masa untuk bersama anak yang akhirnya menyebabkan dia membesar bersama gajet.

“Pada mulanya semua nampak seperti biasa namun apabila anak sudah berusia dua setengah tahun. Pada usia itu dia hanya boleh menyebut dua patah perkataan iaitu ayah dan ‘cucu’ (susu) menyebabkan naluri keibuan saya berasakan ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.

Tanpa berlengah Khazairulamira terus membawa anak lelakinya itu bertemu pakar dan disahkan mengalami masalah lambat bercakap.

“Ketika itu saya tidak menyalahkan sesiapa kecuali diri sendiri, kesibukan harian menyebabkan saya tiada masa dengannya. Apabila penat pulang dari kerja saya beri dia gajet, di rumah pengasuh juga saya bekalkan gajet untuknya. Pendek kata gajet menjadi sahabat baiknya ketika itu di mana saja dan pada bila-bila masa.

“Saya sangat bimbang terutama apabila memikirkan masa depan anak namun kuatkan diri dan terus menghantarnya mengikuti kelas terapi percakapan,” ujarnya.

Bagi memastikan masalah yang sama tidak berulang dan mahukan yang terbaik kepada cahaya mata menyebabkan dia tekad berhenti bekerja.

KHAZAIRULAMIRA bersama suami dan anaknya.

“Keputusan itu bukanlah satu yang mudah. Bayangkan saya sudah lama berkhidmat sebagai anggota polis dan rutin itu sudah sebati dengan diri namun demi anak, saya perlu ambil keputusan ini.

“Akhirnya selepas lapan tahun berkhidmat sebagai anggota beruniform, saya meletakkan jawatan secara rasmi pada 1 Ogos, 2015. Sangat-sangat susah ketika itu apatah lagi mengenangkan pinjaman peribadi saya melebihi RM100,000 yang perlu dibayar setiap bulan,” katanya.

Khazairulamira berkata, dia bagaikan jatuh tersungkur ketika itu apabila perlu memikirkan sumber pendapatan bagi membayar pelbagai hutang piutang setiap bulan.

“Suami tetap ada di sisi tetapi saya tidak mahu menyusahkannya, mungkin berkaitan anak dia boleh bayar tetapi segala hutang itu, saya yang perlu selesaikan sendiri memandangkan pinjaman itu dilakukan oleh saya sendiri.

“Bagi mendapatkan wang poket, saya mula menjalankan pelbagai perniagaan atas talian namun sambutan yang diterima sangat tidak memberangsangkan, sangat sedih namun ketika itu apa yang saya fikirkan hanyalah masa bersama anak. Cukuplah kesilapan yang pernah saya lakukan sebelum itu hingga menyebabkan anak saya mengalami masalah pertuturan,” ujarnya.

Tambahnya, bukan mudah sebenarnya untuk memulakan sesuatu yang baru terutama sekiranya sudah terbiasa mempunyai gaji tetap setiap bulan.

“Di samping mencuba satu persatu perniagaan untuk mencari duit poket, saya juga tidak berhenti berusaha menggalakkan anak bercakap.

“Saya tidak mahu masalah itu berterusan dan disebabkan itu saya tidak berhenti berusaha dan mengharapkan keajaiban supaya anak dapat bercakap seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Menurut Khazairulamira, kini selepas lebih empat tahun berusaha mengatasi masalah pertuturan anak, dia bersyukur kerana anak kesayangannya itu menunjukkan tindak balas positif.

“Kini dia membesar sama seperti kanak-kanak lain, boleh bercakap dengan baik, mungkin jika saya tidak berkorban sebelum ini, dia mungkin akan terus tidak boleh bercakap.

“Menyentuh soal pendapatan, saya hingga kini masih berniaga, Syukur selepas mencuba pelbagai perniagaan, saya kini semakin stabil mengusahakan produk jamu untuk kesihatan dan kecergasan wanita atas jenama Mulier,” ujarnya.

Katanya, walaupun tidak mewah dan masih perlu menanggung hutang namun dia bersyukur kerana harta paling berharga yang dimiliki kini sudah boleh bercakap dan membesar dengan baik.

“Seorang wanita itu perlu kuat dan tabah dalam berdepan apa juga dugaan hidup terutama apabila ia berkaitan dengan anak serta keluarga,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda