Keutamaan kuasai Bahasa Malaysia bukan Jawi – Anwar


shadow

Keutamaan perlu diberikan terhadap penguasaan Bahasa Malaysia (BM) dan bukan membahaskan isu remeh seperti pengajaran Jawi atau khat, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

“Kita tidak boleh mempersoalkan status Bahasa Malaysia. Penting untuk menegakkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan.

“Selepas itu, jika mahu, kita boleh perbaiki pengunaan bahasa-bahasa lain jika dibenarkan secara adil.

“Dengan itu (tumpuan untuk menguasai BM) isu-isu lain yang lebih kecil, seperti khat dan Jawi, menjadi remeh,” kata anggota parlimen Port Dickson selepas menyampaikan ucapan di Konvensyen Motivator Profesional Malaysia di Shah Alam hari ini.


Bagaimanapun, Anwar cepat menjelaskan beliau bukanlah tidak bersetuju dengan rancangan kementerian pendidikan untuk memperkenalkan tulisan Jawi dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia darjah empat di sekolah vernakular Cina dan India.

“Saya tidak kata yang saya tidak sokong. Bagi saya, keutamaan adalah untuk mengukuhkan penguasaan bahasa.

“Tidak ada kompromi mengenai perkara itu,” katanya.

Anwar selanjutnya menggesa orang Melayu untuk melangkah keluar dari zon selesa dan lebih terbuka untuk mempelajari bahasa-bahasa lain bagi membawa perubahan.

Terdahulu menerusi ucapannya, Anwar berkata beliau mempertahankan pendiriannya mengenai kepentingan belajar bahasa Inggeris dan Mandarin, di samping menguasai bahasa Malaysia.

Katanya lagi, walaupun bahasa Melayu diperlukan dalam pembentukan teras jati diri budaya rakyat Malaysia, namun bahasa Inggeris dan Mandarin merupakan bahasa ekonomi serta bidang-bidang penting lainnya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan bercadang untuk memperkenalkan enam halaman pelajaran Jawi di dalam buku teks Tahun 4 Bahasa Malaysia sekolah vernakular.

Pada 8 Ogos lalu pula, selepas mendapat maklum balas masyarakat bukan Melayu, kementerian telah menghadkan pengenalan tulisan itu kepada tiga muka surat sahaja dan menjadikannya pelajaran pilihan.

Bagaimanapun, ramai pihak masih merungut keputusan kementerian itu masih tidak menjelaskan maksud subjek pilihan itu.

Berikutan itu, kementerian pendidikan, selepas berunding dengan kabinet, mengumumkan bahawa pengajaran Jawi hanya akan diajar di sekolah-sekolah vernakular Cina dan Tamil jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda