Khazanah jelaskan jualan aset di Singapura


shadow

PETALING JAYA: Khazanah Nasional mempertahankan keputusan menjual aset yang dimilikinya di Singapura melalui anak syarikatnya, M+S Pte Ltd.

Pengarah urusan Khazanah, Shahril Ridza Ridzuan memberitahu FMT bahawa kos modal yang ditanggung oleh Duo Galleria dan Duo Towers adalah lebih tinggi berbanding pulangan daripada sewa, walaupun sekiranya kesemua unit berjaya disewakan.

“Adalah lebih munasabah ia dijual dan hasilnya dilaburkan untuk pulangan lebih tinggi,” katanya.

“Nilai ambang pulangan kita tinggi. Jadi lebih baik untuk menjual kepada pelabur lain yang menjangkakan pulangan lebih rendah.”

Baru-baru ini dilaporkan M+S menjual kesemua pegangannya dalam Ophir-Rochor Commercial Pte Ltd, pemilik Duo Galleria dan Duo Towers dengan harga RM4.7 bilion.

M+S, yang dikuasai 60% oleh Khazanah, terus memiliki hotel 5 bintang, Andaz Singapore, yang menduduki 15 tingkat Duo Tower dan Marina One.

Shahril berkata, Khazanah akan terus memiliki Marina One.

Katanya, langkah menjual Duo Tower, akan melepaskan risiko daripada portfolio pejabat Khazanah dan membolehkannya membuat pelaburan semula dan mempelbagaikan pegangannya.

Bekas perdana menteri Najib Razak mengkritik jualan itu dengan berkata, adalah lebih baik jika Khazanah terus menguasai hartanah berkenaan dan mengutip sewa. Beliau berkata, hampir 100% bangunan itu berjaya disewakan.

Pakar ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak, Barjoyai Bardai berkata, beliau percaya masa jualan itu dibuat tidak tepat kerana hartanah berkenaan akan memperoleh harga lebih tinggi dalam beberapa tahun lagi.

“Bagaimanapun jualan itu wajar sekiranya hasilnya dilaburkan semula dalam pegangan lain yang memberikan pulangan lebih baik,” katanya.

Katanya, sukar bagi Kahzanah untuk mendapat peluang memiliki aset yang begitu strategik di Singapura tanpa membayar harga premium.

“Saya tidak fikir Singapura akan membenarkan kita memiliki tanah yang strategik sebegitu lagi.”

Tanah untuk hartanah Duo tersebut diperolehi melalui tukaran tanah.

Yeah Kim Leng dari Sekolah Perniagaan Universiti Sunway berkata, keputusan Khazanah harus dilihat sebagai langkah untuk menyusun semula portfolionya dan jualan itu pula dinilai dari segi sama ada ia memenuhi objektif dan sasaran pencapaian dana berkenaan.-FMT

Tinggalkan komen anda