KJ tegur peserta himpunan ‘lucahkan’ nama Shu Qi


shadow

Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegur peserta Himpunan Selamatkan Negaraku di Taman Tasik Kluang, Johor, pada Sabtu lalu yang memanggil nama Anggota Parlimen Kluang Wong Shu Qi, dengan perkataan lucah.

Kata Khairy, apa yang perlu dikritik ialah kenyataan yang dibuat Wong, bukannya mempersenda nama beliau.

“Itu yang hadir, yang buat kenyataan yang lucah, yang tak berapa sopan.

“Saya rasa tak patut dibuat sebab kalau kita nak kritik kenyataan dia (Wong) tak apa.

“Kalau kita nak cakap kenyataan dia tak betul atau tidak menjaga sensitiviti orang Melayu, tak apa.

“Tapi kalau nak menjadikan nama dia sebagai bahan yang lucah, saya rasa itu tak patut,” katanya.

Khairy yang juga anggota parlimen Rembau berkata demikian kepada media selepas menghadiri forum ‘Beyond 2020: Fresh Views, New Visions’ di Sunway University di Subang Jaya, Selangor hari ini.

Himpunan yang dimaksudkan Khairy itu berlangsung pada 17 Ogos lalu membabitkan kemunculan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

‘Jangan lebih-lebih’

Semasa berucap Asyraf Wajdi menyentuh tindakan Wong yang menggunakan contoh bahan bacaan pornografi bertulisan Jawi semasa memberikan taklimat beberapa hari sebelumnya. 

Asyraf Wajdi dalam ucapannya itu berkata: “Apa simbolik kita berkumpul di hadapan pejabat MP Kluang, Wong….?”

Kata-kata itu disambut sebahagian peserta dengan menyabung nama Wong dengan perkataan lucah.

Asyraf Wajdi bagaimanapun tidak bersetuju dengan laungan peserta terbabit sambil meminta mereka mengjaga tingkah laku.

“Jangan lebih-lebih. Itu bukan saya kata. Saya baru balik haji,” katanya.

Wong kemudian mendakwa ucapannya pada sesi dialog dengan Persatuan Tionghua Kluang pada 9 Ogos di Kluang itu diputar belit dan dipetik di luar konteks oleh MCA dan Umno dengan niat jahat.

Sebaliknya Wong berkata, beliau cuba menjelaskan kepada peserta dialog bahawa tulisan Jawi digunakan untuk menulis pelbagai jenis bahan bacaan bahasa Melayu dan tidak terhad kepada bahan membabitkan Islam semata-mata. 

Apabila diminta mengulas lanjut mengenai insiden tersebut, Khairy meluahkan rasa kecewanya sambil mengharapkan hanya kritikan lebih beradab dibuat pada masa akan datang.

“Saya harap mereka dapat memberi kritikan yang intelektual, rasional, berasas.

“Kalau kita sampaikan kritikan secara beradab, tak kurang hujah, atau pun tak kurang keberkesanan hujah kita ni,” kata Khairy.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda