‘K’jaan sedia latihan kemahiran untuk mangsa pemerdagangan manusia’


shadow

Kerajaan akan menyediakan pensijilan dan latihan kemahiran asas kepada mangsa pemerdagangan manusia di Malaysia tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, ia sebahagian daripada langkah kerajaan dalam menambah baik kehidupan mangsa pemerdagangan manusia.

selain itu, kerajaan juga akan mewartakan peraturan bagi membenarkan mereka – yang tinggal di pusat perlindungan – untuk bergerak dengan bebas dan bekerja di negara ini.

“Kerajaan juga akan memberikan elaun sara hidup bulanan kepada mereka,” katanya ketika berucap di persidangan berkenaan antipemerdagangan manusia di Kuala Lumpur hari ini.Iklan

Beliau berkata Malaysia telah mencatat banyak kemajuan dalam soal membanteras jenayah itu.

“Kita telah melihat pengurangan mangsa pemerdagangan manusia di Malaysia dalam beberapa tahun ini (selepas semua usaha dilakukan untuk membanterasnya).

“Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Mapo) mencatatkan 543 mangsa ditempatkan di pusat perlindungan pada separuh pertama 2019, berbanding 1,474 mangsa bagi keseluruhan 2018 dan 2,945 pada 2017,” katanya lagi.

Bagaimanapun, katanya lagi, kerajaan akan terus meningkatkan tumpuan terhadap aspek penguatkuasaan, pendakwaan, pencegahan dan perlindungan dalam isu pemerdagangan manusia.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda