Konsep ringkas, mudah


shadow

SETIAP kali tiba hujung minggu pasti ada wanita runsing memikirkan pakaian yang perlu dipakai ke tempat kerja dalam seminggu. Justeru, ada yang rasa terbeban kerana perlu menggosok blaus, skirt atau seluar dalam jumlah yang banyak.

Menyedari hal ini, jenama yang terkenal dengan padanan ke tempat kerja dengan konsep ringkas dan mudah, CalaQisya melancarkan satu lagi himpunan Comfortwear dinamakan Hope.

Memberi makna sebagai harapan, ia dipilih berdasarkan inspirasi daripada wanita yang selalu berharap agar ada padanan yang akan memudahkan kehidupan seharian mereka. Jenama ini menterjemah dan memberi harapan kepada wanita melalui rekaan kreatif agar blaus dan skirt yang digayakan boleh disarung terus tanpa perlu digosok.

Menurut Pengasasnya, Yana Khairuddin, untuk koleksi Comfortwear ini dia menggunakan fabrik kapas kait kerana sejuk dan tidak berkedut serta bakal menjadi rekaan paling diminati ramai.

“Setiap kali mengeluarkan padanan baru, kami mengambil kira kehendak pelanggan yang sentiasa inginkan padanan ringkas, namun menyerlah.

“Apa yang kami cuba lakukan adalah memperbaharui potongan terutama penggunaan fabrik dan diberikan sedikit perincian agar ia tidak terlalu polos,” tegasnya.

SKIRT bersinar memberikan kesempurnaan kepada gaya si pemakai. Kanan, skirt bercorak dengan teknik lisu sesuai untuk gadis remaja.

Selain pakaian kasual, jenama ini turut memperkenalkan beberapa pilihan skirt yang sesuai dipakai untuk semua acara.

Paling menyerlah, skirt labuh berlisu bagi memenuhi kehendak wanita yang mementingkan konsep longgar tetapi bergaya. Perincian produk ini seluruhnya terletak pada kesan lipatan bersama teknik yang digunakan ke atas material asas.

“Kami menggunakan dua jenis material berbeza, tetapi menampilkan sifat yang sama iaitu kebolehregangan yang memberi lebih keselesaan. Material boleh regang stretchable pleated crepe digunakan bagi menghasilkan skirt yang bercorak.

“Material stretchable pleated foil pula digunakan untuk skirt yang memberi kesan bercahaya. Didatangkan dalam sembilan pilihan warna dan setiap satunya dijahit bersama kain asas di dalam bagi memberi keselesaan serta menutup lubang cahaya yang boleh ditembusi,” katanya.

Koleksi Comfortwear boleh dibeli di butik dan dalam talian mulai 22 Ogos lalu manakala skirt pula sudah menemui pelanggan pada Julai lalu.

Pembeli yang mempunyai kad keahlian CalaQisya layak memperoleh diskaun 10 peratus.

-myMetro

Tinggalkan komen anda