Lebih 16,000 kuarters guru kosong, terbiar akan ditangani – Maszlee


shadow

Kementerian Pendidikan sedang mengambil pelbagai langkah proaktif untuk menangani isu kuarters guru yang terbiar di seluruh negara.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata tindakan itu antaranya ialah dengan membaik pulih sejumlah kuarters, menyewakan kuarters tersebut kepada pihak swasta dan agensi-agensi kerajaan termasuk kerajaan negeri serta mengubahsuai fungsi kuarters terbabit.

Katanya, buat masa ini, kementerian mempunyai sebanyak 50,257 unit kuarters seluruh Malaysia dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 33,893 unit atau 67.44 peratus sedang diduduki sementara 16,364 unit atau 32.56 peratus lagi adalah merupakan kuarters kosong.

Daripada sejumlah unit kosong itu pula, sebanyak 10,062 unit berada dalam keadaan yang rosak dan tidak boleh dihuni dengan kebanyakannya adalah terletak di luar bandar.

“Sebelum ini, isu ini agak serius tetapi semenjak tahun lalu kita telah melakukan beberapa tindakan untuk mengatasinya.

“Ini termasuk melakukan perbincangan dengan agensi-agensi kementerian yang ada. Begitu juga dengan pihak swasta dan kerajaan negeri.

“Contohnya melalui kerajaan negeri Kedah, kita telah menyewakan kuarters kita kepada Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah (UniSHAMS) milik kerajaan negeri itu,” kata beliau.

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Transformasi Minda Anak Muda Gugusan Belitong dan Tindak Susul Isu Pendidikan di Parlimen di Sekolah Menengah Kebangsaan LKTP Belitong di Kluang, hari ini.

Berhubung kesiapsiagaan kementerian untuk menghadapi isu jerebu yang mungkin akan menjejaskan murid dan pelajar yang menduduki pemeriksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak, Maszlee berkata semua Jabatan Pendidikan negeri telah pun mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan bencana itu.

“Mereka akan sentiasa berhubung dengan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS). Apa-apa alarming atau amaran akan diberikan oleh JAS dan bagi pihak jabatan pendidikan negeri, kita akan ikut SOP sedia ada,” kata beliau.

– Bernama


Tinggalkan komen anda