Mana Fitri Nabila?


shadow

REMAJA perempuan dilaporkan hilang selepas keluar dari sebuah madrasah di Bandar Baru Bangi sejak Ahad lalu.

Fitri Nabila Norazman, 15, dilaporkan hilang selepas keluar dari madrasah berkenaan kira-kira 7 petang itu.

Bapanya, Norazman Abdullah, 47, berkata, dia menghantar anak bongsu daripada lima beradik itu ke madrasah berkenaan pada 6.30 petang hari yang sama.

“Ketika berada di rumah di Kampung Pandan, saya menerima panggilan telefon daripada ustazah madrasah berkenaan jam 10.30 malam memaklumkan bahawa Fitri menghilangkan diri.

“Menurut ustazah berkenaan, Fitri meminta izinnya untuk ke tandas yang terletak di aras bawah rumah dua tingkat terbabit (madrasah), namun sehingga kelas bermula jam 8.30 malam, dia tidak muncul,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Norazman berkata, Fitri dipercayai keluar dari madrasah berkenaan dengan membawa dompet dan telefon bimbit yang sudah tidak berfungsi saja.

“Sebelum kehilangannya, Fitri langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara dan ini kali pertama dia bertindak sedemikian.

“Saya bersama ahli keluarga lain sudah mencarinya di kawasan sekitar Bangi, Kajang, Ampang dan Kuala Lumpur, namun masih tidak dapat mengesannya,” katanya yang memaklumkan membuat laporan di Balai Polis Bangi pada Isnin lalu.

Dia yang bekerja sebagai kerani berkata, ada pihak memaklumkan melihat Fitri di sebuah hotel di Bangi pada Isnin lalu tetapi mendakwanya sudah mendaftar keluar dari hotel berkenaan pada keesokan harinya.

“Kami sekeluarga bimbang dengan keselamatan Fitri di luar sana kerana takut perkara tidak diingini menimpa dirinya.

“Saya mohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Fitri menghubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan saksi yang melihatnya di sebuah hotel di Bangi, Fitri dilihat memakai baju sejuk warna kuning dan tidak bertudung.

-myMetro

Tinggalkan komen anda