‘MAS dapat RM300 juta lagi dari Khazanah’


shadow

Dana pelaburan strategik negara, Khazanah Nasional Bhd dilaporkan telah menyuntik RM300 juta lagi kepada Malaysia Airlines Bhd menerusi syarikat induknya, Malaysia Aviation Group Bhd, menjadikan jumlah suntikan modal sebanyak RM800 juta setakat tahun ini.

Menurut akhbar The Edge, suntikan terbaru ini adalah susulan suntikan modal sebanyak RM500 juta daripada Khazanah pada bulan Mac.

Jurucakap Khazanah dilaporkan memberitahu The Edge bahawa suntikan RM800 juta kepada MAG adalah sebahagian daripada pembiayaan dana RM6 bilion yang diluluskan di bawah Pelan Pemulihan MAS (MRP) yang diumumkan pada 2014. Dia walau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah wang yang dikeluarkan setakat ini.

Sebaliknya, jurucakap itu berkata, “Sementara ini, MAG akan terus memerlukan pembiayaan untuk beroperasi sambil berusaha meningkatkan pengalaman pelanggan dan mengelakkan kerugian”.

Syarikat lain di bawah MAG termasuk FlyFirefly Sdn Bhd, MASwings Sdn Bhd dan MAB Kargo Sdn Bhd.

MRP adalah rancangan yang disokong oleh kerajaan untuk mengelakkan syarikat penerbangan nasional itu daripada ditutup dan mebawanya kepada keuntungan. Antara lain, ini melibatkan menyahsenaraikan syarikat itu dan menjadikannya entiti milik penuh di bawah Khazanah.

Pilihan lain termasuk menjual saham dalam syarikat penerbangan itu, dan jurucakap Khazanah dilaporkan berkata bahawa beberapa pihak telah menyatakan minat untuk membeli kepentingan dalam MAG.

“Khazanah akan menilai semua tawaran yang serius, khususnya keupayaan mereka dari segi kewangan dan dari sudut pelaksanaan. Pada peringkat ini, kita tidak dapat memberi komen mengenai proses dan kemajuan penilaian,” kata jurucakap itu.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda