Maszlee: MP Klang pembohong


shadow

Menteri Pendidikan Maszlee Malik menyangkal dakwaan anggota parlimen Klang Charles Santiago bahawa perdana menteri membuat keputusan sendiri dalam isu-isu penting dalam negara.

Katanya pelbagai perkara dibincang dalam kabinet, termasuk isu Statut Rom, Lynas dan Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (Icerd) secara terbuka dan muafakat.

“Untuk itu, kenyataan yang mengaitkan YAB perdana menteri membuat keputusan secara unilateral adalah tidak berasas dan satu pembohongan nyata,” kata Maszlee.

Santiago sebelum ini mendakwa Dr Mahathir Mohamad kerap keputusan sepihak dan perkara itu semakin membimbangkan.

Wakil rakyat DAP itu berkata demikian dengan merujuk isu pengenalan tulisan Jawi di sekolah Cina dan India dan isu desakan supaya penceramah kontroversi Zakir Naik diusir dari Malaysia.

Menjawab bidasan itu, Mahathir semalam secara sinis berkata akan meminta kebenaran Santiago dulu sebelum membuat keputusan kerana “dia setaraf dengan saya (sebagai perdana menteri)”.

Dalam kenyataan petang ini, Maszlee berkata sepanjang menghadiri mesyuarat melibatkan perdana menteri, beliau tegas mencari kata putus dan dalam masa sama amat menghargai suara setiap ahli mesyuarat.

“Ingin saya tegaskan bahawa YAB perdana menteri merupakan pemimpin yang mengutamakan kepentingan serta pandangan semua pihak dan setiap keputusan yang dibuat di peringkat kerajaan atau Pakatan Harapan (PH) merupakan keputusan bersama,” katanya.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda