Mat Hasan: Akhirnya Dong Jioa Zong menang isu tulisan Jawi


shadow

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mempertikaikan keputusan kerajaan untuk menyerahkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Menyifatkan keputusan itu sebagai kemenangan buat Dong Jioa Zong, Mohamad berkata tiada PIBG yang akan bersetuju dengan pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi itu.

“Keputusan kabinet PH untuk meneruskan pelaksanaan tulisan jawi di sekolah venakuler, tetapi hanya setelah mendapat persetujuan PIBG. Ini adalah keputusan paling tidak munasabah, tiada rasionalnya dan tidak selari dengan semangat perlembagaan.

“Ia adalah jalan mati untuk Jawi dalam sistem sekolah tersebut. Melihat sikap chauvinistik pendukung sekolah vernakular dalam isu ini, tiada PIBG yang akan memberikan persetujuan untuk ia dilaksanakan.

“Di mana rasionalnya kurikulum KPM memerlukan persetujuan PIBG untuk di laksanakan. Apa peranan PIBG dalam memenuhi objektif pembelajaran dan pengajaran?” soalnya.

Rabu lalu, kabinet memutuskan bahawa pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Darjah 4 di semua sekolah akan diteruskan, dengan pengajarannya hanya akan dilaksanakan jika ia dipersetujui PIBG.

Susulan itu, kumpulan akar umbi DAP yang membantah pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi bersedia menerima penyelesaian yang dikemukakan oleh Kementerian Pendidikan.

Bagaimanapun, beberapa PIBG sekolah vernakular mempertikaikankeputusan itu dengan menjelaskan bahawa mereka tidak boleh mencampuri urusan sekolah, selain menyifatkan keputusan itu sebagai tidak jelas.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Adun Rantau berkata keputusan kerajaan berhubung isu tulisan Jawi menunjukkan bahawa isu berkenaan hanya “sandiwara” PH untuk memesongkan perhatian rakyat terhadap isu sebenar yang dihadapi negara.

“Bersatu ingin jadi juara kepada orang Melayu sementara DAP pula mahu dilihat sebagai pejuang sebenar kepentingan bangsa Cina. Kedua-dua gagal dalam pementasan mereka kali ini.

“Akhirnya yang menang ialah Dong Jioa Zong, pertubuhan yang digelarkan rasis oleh perdana menteri.

“Desakan Dong Jiao Zong telah menyebabkan tersungkurnya semua anggota Jemaah Menteri dalam mempertahankan wibawa sistem Pendidikan Nasional.

“Tidak pernah terjadi dalam sejarah pendidikan negara ini, pendidikan dipolitikkan sebegini rupa. PH telah tunduk kepada desakan Melayuphobia dan Islamophobia yang dijuarai oleh DAP dan penaungnya Dong Jiao Zong,” katanya.

Pada 3 Ogos lalu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan pelaksanaan pengenalan Jawi akan dibuat secara pilihan dengan guru diberi kuasa menetapkan kaedah pengajaran, serta pengurangan halaman daripada enam kepada tiga muka surat.

Bagaimanapun ia tetap dibantah sesetengah pihak, antaranya Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang melancarkan petisyen untuk menggesa ia dibatalkan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kemudian melabelkan badan pertubuhan pendidikan Cina itu sebagai rasis.

Sementara itu, Mohamad juga mengkritik Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik gagal dalam melaksanakan tanggungjawab perlembagaan untuk memperkukuhkan kedudukan bahasa Melayu.

“Saudara (Maszlee) mesti mengambil pertanggungjawaban atas perkara ini. Saudara tahu apa yang wajar dilakukan dan demi tanah air ini, saya mendesak saudara berundur dengan hormatnya,” katanya. 

  • myMetro

Tinggalkan komen anda