MB Perak minta Paul Yong bercuti


shadow

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu menasihatkan exco kerajaan negeri Paul Yong bercuti daripada tugas rasminya kerana bakal berdepan tuduhan merogol amah.

Beliau berkata kerajaan negeri mengambil maklum keputusan peguam negara untuk mendakwa Yong mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Bagi menghormati proses undang-undang, saya menasihatkan Paul Yong untuk bercuti daripada tugas-tugas rasmi beliau, termasuk tidak mengambil bahagian dalam apa juga mesyuarat yang melibatkan proses membuat keputusan, sehingga proses perbicaraan selesai,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Malaysiakini hari ini melaporkan Yong dijangka akan didakwa di mahkamah esok atas pertuduhan merogol bekas pembantu rumahnya, seorang warga negara Indonesia.

Malaysiakini difahamkan perkara itu akan di bawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh.

Terdahulu, The Malay Mail memetik sumber pejabat timbalan pendakwa raya Perak yang memberitahu media untuk bersiap sedia di Mahkamah Sesyen Ipoh esok.

Pada 8 Julai lalu, pembantu rumah berkenaan memfailkan laporan polis dengan menuduh Adun Tronoh terbabit merogolnya.

Bagaimanapun Yong yang juga bendahari DAP Perak menafikan tuduhan itu. Dia ditahan seketika sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Ahmad Faizal dalam pada itu berkata, beliau tidak akan melakukan “rombakan drastik” exco kerajaan negeri susulan perkembangan terbaru dihadapi Yong.

“Setakat ini tidak ada keperluan untuk melakukan sebarang rombakan drastik dan semua barisan exco sedia ada mampu memikul tanggungjawab untuk menjalankan urusan pentadbiran secara bersama,” katanya.

Menurut Ahmad Faizal, kerajaan negeri menghormati proses undang-undang sesuai dengan sifatnya sebagai asas dalam masyarakat negara ini.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri turut menghormati prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

“Secara peribadi saya amat terkejut atas apa yang berlaku dan berharap keluarga Yong – khususnya isteri dan anak-anak beliau – bersabar dalam melalui proses perundangan ini.

“Saya berharap keadilan akan ditegakkan kepada semua pihak yang terlibat di dalam kes ini.

“Saya juga menyeru kepada penyokong Yong supaya bertenang dan menghormati proses undang-undang dengan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh merumitkan lagi keadaan,” katanya lagi.

Tambah Ahmad Faizal lagi, prestasi Adun Tronoh itu memuaskan dan memberi kerjasama yang baik kepada semua pihak dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda