M’sia muncul juara kejohanan hoki 4 negara


shadow

Skuad hoki lelaki negara mendapat tonik tambahan menjelang pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020 Tokyo, November ini, apabila muncul juara Kejohanan Jemputan Empat Negara di Terrassa, Sepanyol, hari ini.

Skuad Malaysian Tigers dinobatkan juara selepas menamatkan kempen liga sepusingan itu apabila seri 3-3 dalam aksi terakhir menentang pasukan ranking keenam dunia, England.

Sebelum ini, skuad bimbingan Roelant Oltmans mengejutkan Sepanyol 4-3 pada Khamis lalu dan Ireland 2-1 sehari kemudian untuk mengungguli saingan dengan tujuh mata diikuti Sepanyol dengan empat mata manakala England dan Ireland masing-masing memperoleh dua mata.

Pada pertemuan dengan England, skuad negara melakukan kejutan awal apabila mendahului 2-0 seawal 10 minit pertama perlawanan menerusi jaringan sudut penalti oleh Muhammad Razie Abdul Rahim pada minit ketiga dan Mohammad Fitri Saari pada minit kesembilan.Iklan

Bagaimanapun, England bangkit menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Sam Ward pada minit ke-24 dan jaringan Christopher Griffiths pada minit ke-34.

Skuad Malaysian Tigers sekali lagi mendahului kedudukan menerusi jaringan padang Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil pada minit ke-54 tetapi kedudukan tersebut hanya mampu bertahan selama tiga minit apabila Phil Roper menyelamatkan maruah England dengan gol penyamaan.

Skuad kini dalam siri Jelajah Eropah dengan melakukan kejutan besar selepas mengalahkan bekas juara dunia dua kali, Jerman, 4-2 di Krefeld, Jerman, pada 26 Julai lalu dan tewas tipis 1-0 kepada Sepanyol.

Skuad negara meneruskan siri ujian dengan menentang pasukan ranking ketiga dunia dan juara dunia tiga kali, Belanda, pada Selasa dan Khamis ini, diikuti dengan pasukan nombor dua dunia, Belgium pada 10 dan 12 Ogos ini.

Sementara itu, Oltmans, bercakap selepas perlawanan tersebut, berkata anak buahnya gagal mempertahankan kelebihan satu gol pada babak pertama perlawanan walaupun England bermain dengan sembilan pemain selepas kapten, Adam Dixon menerima kad hijau pada minit ke-29 diikuti kuning kad kepada Mark Gleghorne pada minit ke-39.

“Permulaan kami amat bagus dan kita sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol pada tempoh tersebut. Kita menyempurnakan 67 peratus percubaan pukulan sudut penalti ,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan keputusan tersebut adalah baik terhadap lawannya yang merupakan empat pasukan terbaik beraksi Kejohanan Liga Pro.

– Bernama

Tinggalkan komen anda