Najib dakwa lepas PRU14, DAP jadi ‘kingmaker’


shadow

Pengerusi Lembaga Penasihat BN Najib Razak mendakwa DAP merupakan ‘kingmaker’ (penentu) selepas Pakatan Harapan berjaya merampas kerajaan dari BN dalam pilihan raya umum ke-14 lalu.

Bekas perdana menteri mendakwa sebelum PRU14, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang telah memberi gambaran kepada Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad mengenai rancangan tersebut.

Najib berkata Kit Siang mencadangkan penguasaan PH di Putrajaya dapat dicapai melalui rampasan 10 hingga 15 peratus daripada undi Umno .

Menurut MP Pekan itu lagi, maklumat tersebut diperolehi daripada seorang pemimpin yang dahulunya pernah bersama Dr Mahathir ketika menentang Umno, dan kini pemimpin yang tidak dinamakan itu merupakan salah seorang teman rapatnya.

“Dia (pemimpin tidak dinamakan) ada dalam mesyuarat tu. Dia seorang pemimpin masa dulu menentang kita (Umno), dia ikut Dr Mahathir, dia dengar sendiri Kit Siang kata; ‘Dr Mahathir, tubuh parti Melayu yang baru.’ Dia (Kit Siang) kata dalam bahasa Inggeris; ‘Mahathir set up a new Malay party.’

“Dan matlamat, your objective dia kata; ‘tarik 10, 15 peratus undi Umno saja, kita boleh tubuh kerajaan’ – maknanya kalau mereka berjaya, kita akan jatuh. Tetapi, yang jadi ‘kingmaker’ (penentu) adalah parti DAP,” dakwanya.

Najib berkata demikian dalam perhimpunan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Pekan hari ini menerusi siaran langsung Facebook beliau.

“Inilah menyebabkan keadaan yang kita hadapi hari ini, sebab itu kerajaan hari ini terpaksa beri jawatan menteri kewangan yang saya tak sebut menteri kewangan tapi menteri ‘kewayangan’ kepada Lim Guan Eng.

“Terpaksa bagi (jawatan) peguam negara kepada calon mereka, terpaksa bagi jawatan penting yang lain kepada DAP, yang menyebabkan hari ini tekanan demi tekanan dilakukan kepada kita semua,” katanya lagi.

Ini bukan kali pertama, Najib yang juga bekas presiden Umno membuat dakwaan yang hampir sama.

Julai lalu, Sinar Harian memetik Najib berkata parti Bersatu yang ditubuhkan pada September 2016 itu merupakan ilham daripada Kit Siang kepada Mahathir, sebagai platfrom menarik pengundi Umno.

Dakwanya, cadangan Kit Siang yang bertujuan untuk memecahbelahkan orang Melayu itu dilihat berjaya apabila 10 peratus undi Melayu kepada Umno ketika PRU lalu berkurangan.

Najib dalam laporan itu juga berkata cadangan Kit Siang itu dilontarkan dalam satu mesyuarat bersama Dr Mahathir dan pemimpin lain sebelum tertubuhnya Bersatu.

Najib dilaporkan mendedahkan perkara tersebut ketika berucap pada perasmian Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pendang pada 12 Julai lalu.

Bagaimanapun, dakwaan Najib mengenai DAP menjadi ‘kingmaker’ berbeza dengan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum pilihan raya umum yang berharap parti pimpinannya bakal menjadi kuasa penentu politik negara.

Kurang sebulan selepas PH memenangi PRU14, Abdul Hadi akhirnya mengakui bahawa matlamat partinya gagal, sebaliknya Mahathir, yang juga merupakan pengerusi PH adalah pencatur utama, apabila menjadi teras parti pemerintah dengan berbekalkan 13 kerusi parlimen yang dimenangi oleh Bersatu.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda