Nik Mohd pengarah urusan kumpulan, CEO baru Tabung Haji


shadow

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof hari ini mengumumkan pelantikan pengarah urusan kumpulan dan ketua pegawai eksekutif Tabung Haji yang baru, Nik Mohd Hasyudeen berkuat kuasa 1 Sept.

Nik Mohd menggantikan Zukri Samat yang menamatkan kontrak perkhidmatannya lebih awal atas faktor kesihatan setelah menyumbang lebih setahun kepada Tabung Haji.

Berkelulusan Sarjana Perniagaan dari Curtin University of Technology, Australia dan pernah menyertai program lanjutan pengurusan perniagaan, IMD International Switzerland, Nik Mohd juga merupakan felo di CPA Australia dan ahli di Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Beliau juga merupakan ahli lembaga pengarah di beberapa syarikat termasuk BIMB Holdings Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, BIMB Investment Management Berhad, Cagamas Holdings Berhad, TH Plantations Berhad, Malaysia Professional Accountancy Center (MyPAC), Federation Of Investment Managers Malaysia (FIMM) dan Al Hijrah Media Corporation.

Menurut Mujahid, Zukri yangdilantik sebagai pengarah urusan kumpulan dan CEO Tabung Haji pada 10 Julai tahun lalu telah berjaya memulihkan kedudukan kewangan TH dalam masa yang singkat dan melaksanakan proses penstrukturan semula bagi mengatasi kedudukan defisit yang dialami institusi itu.

“Setinggi-tinggi pernghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Dato Seri Zukri Samat di atas sumbangan dan komitmen beliau terhadap TH dan semoga Nik Mohd Hasyudeen dapat meneruskan usaha memperkukuhkan institusi yang mulia ini,” kata Mujahid dalam kenyataannya.

  • malaysiakini


Tinggalkan komen anda