Notis usul pindah kes rasuah Zahid didengar 17 Sept


shadow

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen menetapkan 17 Sept ini untuk mendengar notis usul difailkan pihak pendakwaan dalam kes Ahmad Zahid Hamidi bagi memindahkan 33 pertuduhan yang dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Shah Alam menetapkan notis usul untuk memindahkan 33 pertuduhan Ahmad Zahid ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur didengar hari ini.

Hakim Rozilah Salleh menetapkan tarikh baru itu selepas pihak pendakwaan memohon penangguhan kerana mereka sedang menunggu keputusan satu permohonan semakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang difailkan minggu lepas untuk didengar pada 28 Ogos ini.

Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun menyatakan permohonan tersebut bagi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 31 Julai lepas yang membenarkan 7 lagi pertuduhan rasuah dihadapi Zahid dipindahkan ke Mahkamah Shah Alam.

“Oleh itu, saya mohon agar pendengaran notis usul hari ini ditangguhkan sehingga keputusan semakan (untuk memindahkan kembali 7 pertuduhan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) diputuskan nanti,” katanya.

Bagaimanapun, tiada bantahan daripada pihak pembelaan yang diwakili peguam Ahmad Zaidi Zainal.

Rozilah turut mengekalkan jaminan terhadap Zahid berjumlah RM200,000 seperti yang diputuskan mahkamah sebelum ini.

Pada 27 Jun lepas, Zahid didakwa dengan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta daripada sebuah syarikat berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Bagi 26 pertuduhan, presiden Umno itu didakwa menerima suapan dari Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd berjumlah SG$9,320,000 sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), telah melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Beliau dituduh melakukan semua kesalahan itu di No 389, Jalan Bayu Nyaman, Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Julai 2017.

Bagi 7 pertuduhan lagi, Zahid didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu menteri Dalam Negeri di KDN Malaysia mendapat untuk dirinya satu benda berharga iaitu wang tunai SG$150,000, RM325,000, EURO$15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan dari syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh.

Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama antara Jun 2015 dan April 2017 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 2 tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam prosiding hari ini, 7 pertuduhan menerima rasuah yang dihadapi Zahid di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dibacakan sekali lagi di mahkamah dan presiden Umno itu mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

Bagi 7 pertuduhan itu, Zahid didakwa menerima rasuah berjumlah SG$4.24 juta (anggaran RM1=SG$3.06) daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu menteri Dalam Negeri di KDN, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di negara China dan Sistem VLN.

Zahid dituduh melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya antara 28 Mac 2017 dan 2 Mac 2018.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada 5 kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tinggalkan komen anda