Paul Yong terus didesak bercuti


shadow

Exco Perak Paul Yong yang dihadapkan ke mahkamah semalam atas dakwaan merogol bekas pembantu rumahnya terus didesak untuk mengambil cuti sementara perbicaraan mahkamahnya berjalan.

Naib Presiden Centre for a Better Tomorrow (Cenbet) Simon Lim Seng berkata penjawat awam harus bersih selaras dengan tadbir urus yang baik.

“Kami terkejut bahawa Yong enggan mengambil cuti walaupun telah dinasihatkan oleh Menteri Besar Perak (Ahmad Faizal Azumu).

“Tuduhan jenayah adalah sesuatu yang amat serius dan dia datang dari parti yang menggalakkan tadbir urus yang baik,” kata Simon dalam kenyataanya, hari ini.

Menurut Simon, langkah itu merupakan amalan biasa bagi pemegang jawatan awam dalam sistem demokrasi matang di seluruh dunia.

“Sekiranya Yong komited kepada cita-cita tadbir urus yang baik, parti dan gabungannya ada perlu berjanji untuk menegakkannya, dia harus mengambil cuti tanpa serta-merta. Tidak perlu menunggu sehingga habis perbicaraan,” katanya.

Menurutnya lagi, jika Yong dibebaskan daripada pertuduhan rogol, dia boleh kembali ke jawatan lama.

“Mengambil cuti bukan bermaksud mengaku salah tetapi untuk mempertahankannya kesucian pentadbiran negeri. Ia adalah perkara yang boleh dihormati,” katanya.

Semalam Yong yang juga bendahari DAP Perak mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas dakwaan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Ipoh.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di rumahnya di Meru Desa Park pada 7 Julai, antara pukul 8.15 malam hingga 9.15 malam. Mahkamah membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Ketika ditemui selepas prosiding, Yong bertegas akan meneruskan tugas rasminya walaupun dinasihatkan Ahmad Faizal untuk mengambil cuti.

Dia berkata tiada sebab mengapa perlu mengambil cuti selepas mengambil kira “mandat rakyat” kepadanya.

“Mengapa saya mahu berhenti? Apa sebab saya mahu cuti?Saya masih lagi exco kerajaan negeri. Saya mewakili rakyat,” katanya.

Sementara itu, bercakap kepada media hari ini, Ahmad Faizal berkata beliau akan bertemu Yong dalam masa terdekat bagi membincangkan mengenai kedudukannya sebagai exco.

“Saya belum berjumpa dengannya lagi. Bila dapat jumpa nanti, saya akan bincang kerana saya kira pentadbiran kerajaan negeri perlu kita titik beratkan.

“InsyaAllah (dalam pertemuan) kita akan rungkai apa juga masalah,” katanya seperti dilapor Bernama.

Menteri besar itu pada Khamis lalu menasihati Yong supaya bercuti daripada tugasan rasmi termasuk tidak mengambil bahagian dalam sebarang mesyuarat yang melibatkan proses membuat keputusan sehingga proses perbicaraan kes selesai bagi menghormati undang-undang.

Tinggalkan komen anda