Pekerja Utusan rasa nasib macam mangsa banjir


shadow

Kira-kira 100 kakitangan dan bekas pekerja Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan) mengadakan piket di luar ibu pejabat syarikat penerbitan itu hari ini bagi menuntut pampasan dan gaji mereka – yang tertunggak sejak tiga bulan lalu – dilunaskan.

Syarikat terbabit dikatakan gagal membayar gaji kepada pekerja mereka sejak Mei lalu.

Pereka grafik, Nik Mohamad Hasmazi Hassan, berkata dia terpaksa berhutang hanya untuk datang berkerja di pejabatnya.

Katanya, ia bukan sesuatu yang mudah kerana ada antara mereka yang perlu meminjam wang untuk bekerja dengan harapan dibayar gaji.

“Cuba bayangkan, kami datang sini bekerja untuk tampung pendapatan, tapi sebaliknya kami terpaksa pinjam duit untuk isi minyak sebelum pergi kerja. Cuba bayangkan?

“Sampaikan kami ni dibantu macam mangsa banjir…. tapi memang pun (terdesak) sebab dah tiga kali kami tak dibayar gaji,” katanya.

Dia yang sudah berkhidmat di Utusan Melayu sejak 23 tahun lalu menambah mereka masih sayang kepada syarikat berkenaan.

Bangunan tak ada CF

Justeru, katanya, mereka masih bertahan bekerja di tempat sama walaupun tidak mendapat gaji untuk tempoh yang lama.

Malangnya kata Nik Mohamad Hasmazi kesetiaan mereka seolah-olah tidak bermakna apa-apa kepada syarikat berkenaan.

“Kami tidak dihargai, tidak dipandang. Kesusahan kami diambil mudah saja.

“Kami ni apa sebenarnya? Macam kami tak ada nilai,” keluhnya.

Dalam piket itu, mereka turut melaungkan beberapa luahan seperti “Mana gaji kami?” sambil memegang plakad “Majikan cabul hak pekerja” dan “Kami semua sayangkan Utusan”.

Siti Ainiza

Sementara itu, bekas wartawan Utusan Malaysia, Siti Ainiza Kamsari, berkata situasi yang dialami kini semakin buruk kerana bayaran pampasan peserta skim pemberhentian kerja sukarela (VSS) diterima secara beransur-ansur sejak Dis 2018.

Katanya bayaran itu hanya akan selesai pada Dis akan datang.

“Biasanya di syarikat lain bekas pekerja yang menerima VSS akan dibayar secara penuh.

“Dengan adanya wang sebegitu, ia bolehlah digunakan sebagai modal berniaga atau digunakan untuk keperluan harian sementara mendapat kerja lain, tapi bayaran tu memang sangkut habis,” katanya.

Ibu kepada lima cahaya mata dan telah berkhidmat dengan akhbar tersebut sejak 20 tahun lalu menambah dia dimaklumkan secara keseluruhan Utusan perlu membayar pampasan sebanyak RM80 juta untuk penerima VSS.

Mohd Taufek

Namun katanya setakat ini syarikat berkenaan hanya berjaya mendapatkan dana sebanyak RM850,000 saja hasil penjualan beberapa asetnya.

“Jadi selama mana lagi kami nak tunggu?” soalnya.

Piket yang berlangsung selama sejam itu diketuai oleh Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Cawangan Utusan, Taufek Razak.

Taufek yang juga NUJ kebangsaan mendakwa dia sebelum ini bertemu Pengerusi Utusan, Abdul Aziz Sheikh Fadzir, di Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya.

Mohd Taufek turut memberitahu, aset Utusan tidak boleh dijual kerana kebanyakan bangunannya tidak memiliki Sijil Layak Menduduki (CF).

“Memang dia (Utusan) tak ada duit. Tak ada cara lain melainkan untuk lupuskan aset. Selagi aset tak boleh lupus mereka tak boleh buat apa-apa.

“Untuk pengetahuan, kalau nak cerita sebenarnya malu, masalah tak boleh lupus aset kerana kebanyakan bangunan Utusan tak ada CF,” katanya.

Menurut wartawan itu, ketika Umno menjadi kerajaan parti berkenaan tidak mengambil peduli aspek tersebut kerana bantuan boleh diberikan ketika perlu.

Namun katanya selepas Umno kehilangan kuasa timbul masalah apabila aset yang ada cuba dijual.

“Nak jual aset tak boleh, sebab kena tunggu kelulusan Jabatan Bomba dan Penyelamat (yang mengeluarkan CF), dan juga dari Bursa Malaysia,” katanya.

Turut kelihatan hadir sama dalam piket itu ialah bekas pengarang Mingguan Malaysia Ku Seman Ku Hussein dan wakil Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan kereta rasmi Kementerian Sumber Manusia.

Malaysiakini sudah cuba menghubung Aziz mengenai perkara ini dan sedang menunggu maklum balas daripada beliau.

Selain Utusan Malaysia, syarikat itu juga menerbitkan akhbar Kosmo!.

  • malaysiakini


Tinggalkan komen anda