Pembalakan di kawasan Orang Asli diarah henti sementara


shadow

Kerajaan Perak hari ini mengarahkan semua aktiviti pembalakan di kawasan dipertikaikan dengan komuniti Orang Asli di Gerik.

Dalam kenyataan dikeluarkan bersama oleh Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P WaythaMoorthy, mereka menyatakan perintah itu akan berlanjutan sehingga proses perbincangan di antara kerajaan negeri dan masyarakat Orang Asli selesai.

“Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri komited untuk mencapai penyelesaian yang saksama untuk melindungi kepentingan komuniti Orang Asli di petempatan berkenaan,” kata kenyataan yang dikeluarkan petang tadi.

Perak berdepan dengan pertikaian dengan komuniti Orang Asli di Kampung Cunex, Gerik sejak beberapa ketika lalu dan setakat ini belum berjaya mencapai persefahaman bersama.Iklan

Pada 31 Julai lalu Pertubuhan Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ) mendesak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menggantikan Ahmad Faizal dengan orang lain sebagai menteri besar Perak kerana dianggap tidak membela rakyat sendiri.

Pengerusinya, Dolah Tekoi, berkata Ahmad Faizal bersifat memusuhi Orang Asli dan lebih suka berkonfrontasi berbanding menyelesaikan isu yang dibangkitkan secara baik.

“Malah setiap hari beliau hanya keluarkan kenyataan yang tidak membina tetapi lebih kepada kontroversi terutama dalam isu tanah adat Orang Asli,” katanya.


Baca MB Perak jamin tidak akan pinggir Orang Asli


Kenyataan Dolah itu dibuat sehari selepas Ahmad Faizal berkata, Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak tidak memperuntukkan tanah adat untuk mana-mana kaum termasuk Orang Asli.

“Kalau ada pertubuhan bukan kerajaan menyatakan perlu berjuang untuk tanah adat Orang Asli, bagaimana pula kalau tiba-tiba ada Melayu Mandailing meminta kerajaan menyediakan tanah adat untuk kaum mereka pula, dan orang Jawa pun cakap benda yang sama?

“Ini amat membimbangkan tetapi buat masa ini kerajaan negeri kekal dengan pandangan mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri apabila tiada tanah yang diiktiraf sebagai tanah adat sama ada untuk Orang Asli, orang Melayu, Cina, India, atau mana-mana kaum,” katanya.

Menurut Ahmad Faizal dan Waythamoorthy, keputusan untuk menghentikan sementara aktiviti pembalakan di kawasan yang dipertikaikan itu dicapai selepas kedua-dua mereka mengadakan pertemuan – yang turut disertai Peguam Negara, Tommy Thomas – di Putrajaya semalam.

“Susulan itu, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Perak akan bekerjasama untuk menyelesaikan apa-apa isu berkaitan komuniti Orang Asli.

“Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mengambil serius perkara berkaitan hak-hak komuniti Orang Asli,” katanya.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda