Pemuda Bersatu lancar petisyen haramkan Dong Zong


shadow

Pemuda (Armada) Bersatu telah melancarkan petisyen atas talian bagi mengumpul sokongan menggesa pengharaman badan pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong.

Exconya, Muzzammil Ismail menyifatkan Dong Zong sebagai keterlaluan dan mempunyai niat menggugat perpaduan masyarakat.

“Sebelum ini, mereka lantang menjadi persatuan yang mendesak kerajaan terutama (menteri pendidikan) YB Dr Maszlee (Malik) untuk mengiktiraf UEC (Sijil Pendidikan Bersepadu).

“Hari ini Dong Zong menekan kerajaan menggunakan pelbagai tuntutan.

“(Tindakan) Menggerakkan satu petisyen membantah tulisan Jawi adalah suatu tindakan tersusun yang amat jahat dalam menggugat warisan Malaysia, kami rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama,” katanya.

Pada 6 Ogos, 20 wakil NGO turun berkumpul bagi menyerahkan memorandum menyokong pengenalan seni khat dan tulisan Jawi di sekolah kepada wakil Dong Zong.

Pada 10 Ogos, Pengerusi Dong Zong Tan Tai Kim berkata akan menggerakkan kempen mengumpul tandatangan untuk menegaskan bantahan terhadap pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melabelkan Dong Zong sebagai “rasis” kerana mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah sebagai satu bentuk “Islamisasi”.

Isu itu menjadi kontroversi bulan lalu apabila sebahagian masyarakat bukan Melayu membantah rancangan memperkenalkan pembelajaran tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia darjah empat.

Maszlee dalam wawancara dengan Malaysiakini sebelum ini menafikan kerajaan cuba memperkenalkan pendekatan islamisasi dan menyifatkan pembelajawan Jawi sebagai usaha menghargai warisan tulisan lama bahasa Malaysia.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda