Penerbangan Jeddah-KL lewat akibat isu teknikal, kata MAS


shadow

Penerbangan MH8311 dikendalikan oleh Amal by Malaysia Airlines, cabang penerbangan haji dan umrah Malaysia Airlines, yang dijadual berlepas dari Jeddah 1.10 pagi pada Sabtu ke Kuala Lumpur, mengalami kelewatan berpanjangan disebabkan isu teknikal dihadapi pesawat A380-800 yang mengendalikan penerbangan.

Malaysia Airlines Berhad (MAS) dalam satu kenyataan hari ini berkata masalah itu yang disedari semasa proses menaiki pesawat, tidak dapat ditangani dengan segera dan memerlukan masa yang lebih lama untuk diatasi.

Pada masa yang sama, krew Amal terpaksa meninggalkan tugas untuk memantau pembatasan jadual penerbangan mereka.

“Keselamatan tetap menjadi keutamaan Amal dan syarikat penerbangan itu amat menyesali kesulitan yang dialami oleh penumpang.

Amal akan mengendalikan penerbangan membawa pulang jemaah yang dijadualkan berlepas dari Jeddah pada 26 Ogos pukul 9.35 malam dan tiba di Kuala Lumpur pada 27 Ogos pukul 1.15 tengah hari,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini Bernama melaporkan seramai 476 jemaah haji Malaysia dipercayai di bawah seliaan Lembaga Tabung Haji (TH) terkandas di Jeddah sejak Sabtu lepas, disebabkan penjadualan semula waktu penerbangan mereka.

Amal adalah anak syarikat milik penuh Malaysia Aviation Group (MAG). Melalui kerjasama dengan Malaysia Airlines, Amal menawarkan penerbangan berjadual dan sewa khas ke Jeddah dan Madinah dari Kuala Lumpur menggunakan pesawat Airbus A380 dan A330.

MAS berkata semasa menunggu, penumpang dimaklumkan mengenai perkembangan terkini situasi melalui pengumuman dalam penerbangan dan makanan juga disajikan kepada penumpang.

Memandangkan pesawat itu telah diisytiharkan tidak dapat digunakan, penumpang dibenarkan turun daripada pesawat dan dipindahkan ke hotel penginapan mereka selepas melalui proses dokumentasi oleh imigresen.

“Kakitangan Tabung Haji sentiasa berada untuk memberikan bantuan yang diperlukan,” kata kenyataan itu.

Amal mengendalikan sejumlah 138 penerbangan antara Kuala Lumpur dan Jeddah/Madinah semasa musim 2019 Hajj. Ia juga mengendalikan 142 penerbangan perantara untuk mengangkut penumpang ke/dari stesen domestik di Malaysia.

Bernama

Tinggalkan komen anda