PKR yakin ketidakpuasan hati Cina tak jejas jualan kuih bulan Refomasi


shadow

Sempena pesta kuih bulan September depan, PKR menyediakan sebanyak 10,000 kotak ‘kuih bulan Reformasi’ untuk kutipan dana parti mereka.

Tetapi dalam keadaan ketidakpuasan hati komuniti Cina terhadap isu tulisan Jawi diperkenalkan di sekolah vernakular dan bantahan terhadap kilang Lynas, tanda tanya muncul sama ada isu-isu itu akan menjejaskan jualan kuih bulan itu.

Bagi pemimpin PKR pusat Chang Lih Kang, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Lee Chean Chung, sentimen tersebut tidak akan menjadi masalah.

Chang, yang juga naib presiden parti, menyeru orang ramai supaya membeli kuih bulan berkenaan bagi menyokong agenda reformasi yang menurutnya belum disempurnakan.

“Bagi saya itu (ketidakpuasan hati Cina) bukan masalah yang akan menjejaskan jualan kuih bulan.

“Saya ingin menyeru kepada orang yang rasa refomasi perlu dilaksanakan dan menunaikan janji manifesto yang belum dilaksanakan harus beli.

“Ini memberi peringatan kepada orang ramai, pimpinan negara atau pimpinan parti bahawa mereka mengambil berat dan mereka mahu ambil tahu tentang perkembangan agenda ini,” katanya kepada pemberita semasa pelancaran kuih bulan di ibu pejabat PKR pagi ini.

Perlu jelaskan kepada rakyat

Ketua Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi pula berkata parti itu perlu berdepan dengan isu-isu kontroversi dan turun padang untuk menjelaskannya kepada rakyat.

“Dalam banyak-banyak isu yang timbul, tidak kira isu khat Jawi atau Lynas, bagi saya, walaupun orang lihat daripada sudut perkauman saya lihat ia adalah isu rakyat, saya tidak lihat isu kaum.

“Antara yang kuat lawan Lynas adalah Lee dan (Ahli Parlimen Bentong) Wong Tack dan (Ahli Parlimen Kuantan) Fuziah Salleh. Saya lihat ia adalah isu alam sekitar, tetapi kalau isu tulisan Jawi, Zakir Naik dan seumpamanya, parti yang kena ke depan adalah PKR.

“Dalam politik, anda mengharungi semua proses dan tiada berbulan madu selama-lamanya,” katanya.
Yakin jualan

Bagi Lee yang juga Bendahari Agung PKR, dia yakin kuih bulan Reformasi akan mendapat sambutan.

“Kita rasa yakin dan mengharapkan sokongan rakyat. Bagi yang masih lihat agenda refomasi sebagai agenda yang lebih penting, mereka perlu sokong dan terus menyokong parti reform untuk laksanakan agenda refomasi.”

Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa PKR yang merupakan parti kerajaan tidak akan menyalahgunakan dana awam dan akan meneruskan kutipan derma untuk menampung perbelanjaan operasi parti.

PKR menyediakan dua jenis kotak kuih bulan Reformasi halal, masing-masing berharga RM12 yang mengandungi sebiji dan RM22 sekotak yang mengandungi dua biji kuih bulan.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda