PLUS sasar wujud lebuh raya tanpa palang tol


shadow

SUBANG: PLUS Malaysia Bhd (PLUS) sedang berusaha untuk mencapai aspirasi mewujudkan lebuh raya tanpa palang tol di negara ini.

Ketua Teknologi dan Inovasi PLUS, Shamsul Izhan Abdul Majid, berkata aspirasi berkenaan juga selari dengan kemahuan kerajaan, iaitu mewujudkan lebuh raya dengan sistem pelbagai lorong aliran bebas atau ‘multi-lane free flow’.

Bagaimanapun, tegasnya aspirasi itu tidak boleh dilakukan secara bersendirian oleh PLUS, sebaliknya memerlukan kerjasama beberapa pihak berkuasa seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kami perlu memacu aspirasi ini. Bagaimanapun, jawapan bukan 100 peratus terletak di tangan PLUS. Kami perlu mencari pihak berkaitan untuk jalinan kerjasama, rundingan, ujian dan cubaan.

“Ada banyak kekangan yang perlu diatasi dan untuk mewujudkan sistem berkenaan juga tidak semudah yang disangka. Antara kekangan utama adalah kesulitan untuk mengesan nombor plat kenderaan. Ini kerana, di Malaysia terdapat banyak format nombor plat. Justeru, kami perlu mengesahkan terlebih dahulu identiti sesebuah kenderaan itu.

“Jika dibandingkan dengan negara Eropah, nombor plat kenderaan di sana dikeluarkan oleh kerajaan manakala di sini, pengguna boleh menempah format nombor plat yang diinginkan di kedai aksesori kenderaan,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat PLUS dekat sini, baru-baru ini.

Menjelaskan lebih lanjut mengenainya, Shamsul Izhan berkata, PLUS sudah menjalankan ujian percubaan pengecaman nombor plat di tiga lokasi iaitu Bandar Serenia, Southville dan Bandar Subang.

“Ujian percubaan itu dibuat untuk menggabungkan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (Automatic Number-plat Recognition) dengan sistem tol.

“Tujuannya adalah untuk mengetahui identiti kenderaan dan cara pembayaran yang mahu dilakukan oleh pemandunya,” katanya.

Beliau berkata, PLUS sudah mula menjalankan usaha untuk mencapai aspirasi berkenaan sejak dua tahun lalu.

“Bagaimanapun, masih tiada jangka masa yang tepat bila aspirasi ini dapat dicapai. Kami ada juga berkongsi maklumat dengan pengendali tol di Singapura, tetapi keadaan di sini tidak sama dengan negara berkenaan.

“Singapura adalah sebuah pulau dan kenderaan di sana hanya berpusing di sekitar kawasan itu. Mungkin jika pengguna tidak membayar tol pada hari ini, mereka perlu membayarnya pada esok hari. Mereka tidak boleh lari daripada sistem di sana.

“Namun di Malaysia, kenderaan masuk daripada pelbagai arah. Ada yang dari Thailand, ada yang dibawa menaiki kapal dari Sabah dan Sarawak. Potensi kenderaan untuk hilang tanpa membayar tol itu ada dan ia boleh menjejaskan kutipan tol dan pendapatan PLUS,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, PLUS akan tetap berusaha untuk mencapai aspirasi lebuh raya tanpa palang.

“Dengan penggunaan teknologi, ia boleh menyelesaikan semua perkara. Justeru, kami sedang mencari cara yang efektif untuk mencapai aspirasi berkenaan,” katanya.

Tinggalkan komen anda