PM setuju teliti gesaan turunkan caj PSC di KLIA2


shadow

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersetuju untuk meneliti gesaan AirAsia agar caj perkhidmatan penumpang (PSC) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) diturunkan.

Jelas Dr Mahathir, adalah tidak adil mengenakan penumpang di KLIA2 kadar cukai sama dengan penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kita sedang teliti,” katanya pada sidang media ketika mengunjungi ibu pejabat AirAsia di Sepang, hari ini.

Pengasas AirAsia Tony Fernandez sebelum ini menggesa agar kerajaan mengurangkan cukai lapangan terbang yang telah dinaikkan dari RM50 kepada RM73 tahun lalu.

“Jelas ia (AirAsia) akan mengenakan caj penumpang pada kadar rendah. Apabila kenakan cukai lapangan terbang kos tinggi sama dengan lapangan terbang kos rendah, itu tidak adil,” kata Dr Mahathir.

Menurutnya, kerajaan sedang mengkaji semula struktur cukai agar semua pihak dikenakan cukai dengan adil.

Sementara itu, Dr Mahathir juga berkata kerajaan akan mengkaji gesaan penangguhan pengutipan bayaran levi perjalanan ke luar negara yang dijadual dilaksanakan mulai 1 September ini.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda