Polis nafi akan berlaku huru-hara di Brickfields


shadow

Polis menafikan akan berlaku huru-hara di Brickfields, Kuala Lumpur selepas mesej berkenaan ditularkan melalui media sosial sejak semalam.

Khabar angin itu dipercayai disebarkan susulan dua perhimpunan membantah tulisan Jawi dan pendakwah antarabangsa, Zakir Naik dijangka berlangsung hari ini dan esok.

Bagaimanapun kedua-dua perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran daripada pihak polis.

“Mesej yang tular mengatakan akan ada keadaan yang tidak menyenangkan di kawasan Little India, Brickfields pada 23 dan 24 Ogos 2019 adalah tidak benar.

“Keadaan adalah selamat dan terkawal.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya serta menyebarkan sebarang berita palsu yang boleh menyebabkan kegusaran dalam masyarakat,” kata Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Arifai Tarawe dalam satu kenyataan.

Arifai mengulas mesej tular yang mengatakan bermula jam 7 petang ini akan berlaku ‘kejadian tidak menyenangkan’ di kawasan di antara Little India sehingga ke Nu Sentral.

Ia juga mengatakan kejadian sama dijangka esok pada jam 2 hingga 4 petang serta menasihatkan orang ramai mengelakkan kawasan Brickfields pada tarikh tersebut.

Semalam, Arifai mengesahkan menerima notis oleh penganjur yang merancangkan mengadakan perhimpunan ‘Say No To Zakir Naik, Equal Rights to Indian & other Races’ (Katakan Tidak Kepada Zakir Naik, hak samarata kepada orang India dan kaum lain).

Satu lagi perhimpunan untuk membantah pelaksanaan pembelajaran tulisan  Jawi di Sekolah Tamil dijadualkan berlangsung pada hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata kedua-dua notis adalah tidak lengkap dan tidak memenuhi keperluan undang-undang.

Sementara itu, penganjur perhimpunan Shankar Ganesh berkata pihaknya akan meneruskan perhimpunan itu.

“Keputusan telah dibuat. Jika saya menarik diri sekarang, maka kita perlu berdiam diri selamanya. Jika saya menarik diri sebagai penganjur esok, hak kami untuk anak-anak kami dan masa depan kami akan didiamkan selama-lamanya,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Beliau juga berharap Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad datang untuk menerima memorandum itu.

Malaysiakini telah menghubungi Shankar dan pembantu Khalid pembantu untuk pengesahan.

Pendakwah kontroversi Dr Zakir menjadi perhatian ramai berikutan kenyataan beliau terhadap masyarakat berketurunan Cina dan beragama Hindu di Malaysia.

Zakir, yang disiasat oleh pihak polis menegaskan bahawa kenyataan beliau telah diambil di luar konteks dan memohon maaf.

Pendakwah itu dikehendaki oleh pihak berkuasa di negara asalnya kerana didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram.

Beliau mendakwa tuduhan tersebut telah direka dan menyatakan keengganan Interpol untuk mengeluarkan notis merah terhadap beliau sebagai bukti.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata Zakir, yang memegang status penduduk tetap, akan terus kekal di Malaysia buat masa ini. 

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda