Polis tahan 2 penganjur himpunan bantah tulisan Jawi


shadow

Polis sedang mengambil keterangan dua penganjur perhimpunan membantah cadangan pengenalan tulisan Jawi dalam pelajaran Bahasa Malaysia Darjah Empat di sekolah Tamil, menurut peguam Devaneson Ganesan kepada Malaysiakini.

Katanya, kedua-dua penganjur itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk memberikan kenyataan.

Sementara itu, The Star melaporkan polis menangkap kedua penganjur ketika bantahan berlangsung.

Pemangku Ketua Polis Brickfields Arifai Tarawe dipetik The Star berkata walaupun berlaku penangkapan, perhimpunan berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Malam ini himpunan pertama daripada dua yang dirancang telah diadakan di Little India, Brickfields.

Penganjur perhimpunan Shankar Ganesh berkata himpunan itu dianjurkan bagi menyuarakan bantahan terhadap cadangan pengenalan tulisan Jawi dalam pelajaran Bahasa Malaysia Darjah Empat di sekolah Tamil.

“Kami berada di sini malam ini bagi memberikan ruang untuk suara yang tidak diendahkan,” kata Shankar kepada Malaysiakini hari ini.

Dilaporkan ratusan menyertai perhimpunan malam ini.

Perhimpunan esok dijangka lebih besar dan menangani isu-isu seperti penukaran agama secara sepihak kanak-kanak di bawah umur, isu pendakwah kontroversi Zakir Naik, isu agihan peruntukan dana Unit Transformasi India Malaysia (Mitra), warga negara tanpa dokumen pengenalan dan bantahan pengenalan pelajaran tulisan Jawi di sekolah Tamil.

Esok himpunan yang diberi nama ‘Say No Zakir Naik, Equal Rights to Indians and Other Races’ dijadual berlangsung 2 petang esok.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim, berkata tindakan tegas akan diambil termasuklah tangkapan terhadap pihak yang ingkar.

Katanya, penganjur telah membuat permohonan untuk kedua-dua perhimpunan itu diadakan sama ada di Water Fountain Little India atau hadapan Restoran Sri Panndi, Brickfileds, namun ia tidak dibenarkan.

Sementara itu, Mazlan memaklumkan bahawa polis juga akan membuat sekatan dan lencongan jalan bagi memastikan himpunan itu tidak diadakan seperti yang dirancang.

Sekatan akan dibuat di Jalan Tun Sambathan, Jalan Rakyat dan jalan dari Lebuhraya Persekutuan menghala ke Little India.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda