PSM: ‘Padamkan api bukan simbah minyak’


shadow

Parti Sosialis Malaysia (PSM) merayu orang ramai yang ingin menyertai perhimpunan di Brickfields yang dijadualkan berlangsung malam ini dan esok supaya tidak berbuat demikian.

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan berkata ini walaupun beliau selalu berpendirian rakyat berhak berhimpun secara aman.

“Namun dalam isu perhimpunan di Bricfields, saya bersetuju dengan pihak berkuasa dan merayu kepada mereka untuk tidak berhimpun demi untuk meredakan keadaan.

“Saya juga berharap perhimpunan lain satu etnik juga tidak diadakan dalam masa terdekat.

“Bila ada api, kita kena tuang air untuk memadamkan dan bukan minyak,” katanya dalam suatu kenyataan malam ini.

Petang tadi, polis memberikan amaran keras agar orang ramai tidak menyertai dua perhimpunan, masing-masing berhubung isu penceramah kontroversi Dr Zakir Naik dan isu tulisan Jawi yang dijadualkan berlangsung malam ini dan esok.

Perhimpunan ‘Bantahan Tulisan Khat Sekolah Tamil’ yang dijadualkan berlangsung 7 petang ini, sementara himpunan ‘SayNo Zakir Naik, Equal Rights to Indians and Other Races’ dijadual berlangsung 2 petang esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim, berkata tindakan tegas akan diambil termasuklah tangkapan terhadap pihak yang ingkar.

Katanya, penganjur telah membuat permohonan untuk kedua-dua perhimpunan itu diadakan sama ada di Water Fountain Little India atau hadapan Restoran Sri Panndi, Brickfileds, namun ia tidak dibenarkan.

Sementara itu, Mazlan memaklumkan bahawa polis juga akan membuat sekatan dan lencongan jalan bagi memastikan himpunan itu tidak diadakan seperti yang dirancang.

Sekatan akan dibuat di Jalan Tun Sambathan, Jalan Rakyat dan jalan dari Lebuhraya Persekutuan menghala ke Little India.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda