Raja Permaisuri Agong cemar duli naik bas


shadow

RAJA Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli menaiki bas untuk melihat keseluruhan kampus Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Gombak sempena Kunjungan DiRaja hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pada 11.15 pagi diiringi dua puteri, Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Itu kunjungan sulung baginda ke UIAM selepas dilantik menjadi Ketua Perlembagaan (Canselor), Jun lalu.

Dalam kunjungan itu, Tunku Azizah melawat Kulliyyah Senibina dan Reka Bentuk Alam Sekitar serta melihat pameran berkaitan kajian seni bina Islam di Kedah dan Pulau Pinang yang dianjurkan penuntut tahun akhir fakulti itu.

Selain itu, baginda turut melawat pusat asuhan dan jagaan kanak-kanak yang disediakan untuk kakitangan universiti terbabit.

Tunku Azizah juga berkenan melawat galeri universiti dan diberi taklimat mengenai UIAM.

Hadir sama mengiringi baginda, Presiden UIAM, Datuk Dr Mohd Daud Bakar serta Rektor, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Dalam ucapan ringkasnya, Tunku Azizah turut merakamkan terima kasih kepada pihak universiti kerana menerima kunjungan baginda.

Tunku Azizah bertitah, UIAM dekat di hati kerana adinda bongsu, Tunku Masera Sultan Iskandar juga graduan universiti berkenaan.

“Jadi saya berharap dua anak (Tengku Puteri Afzan dan Tengku Puteri Jihan) akan turut memilih UIAM (menyambung pelajaran di universiti itu).

“Saya berharap dengan tunjuk ajar dan panduan daripada pengurusan dapat membawa universiti mencapai lebih banyak kejayaan,” titah baginda.

Tunku Azizah bertitah lagi, UIAM adalah universiti Islam yang berprestij dan baginda turut meminati bidang pengajian Islam.

“Selain itu, saya juga harap boleh ‘kacau’ fakulti seni bina kerana memang meminati bidang seni bina selain sejarah dan perundangan Islam.

“Harap kehadiran saya di universiti ini sebagai ‘big head’, banyak benda yang saya boleh pelajari daripada anda semua, untuk menjadi insan mahupun permaisuri yang terbaik untuk Malaysia,” titah baginda.

Mengakhiri kunjungan, Tunku Azizah turut berkenan menghadiri majlis santapan tengah hari bersama pengurusan tertinggi universiti, kakitangan serta penuntut.

Tunku Azizah adalah wanita pertama dilantik Ketua Perlembagaan UIAM untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa 12 April lalu.

Baginda menggantikan Sultan Pahang kelima, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang mangkat 22 Mei lalu.

-myMetro

Tinggalkan komen anda