‘Rakyat jelata juga tolak daulat istana pada PRU14’


shadow

Johor, tempat kelahiran Umno, adalah antara negeri-negeri yang tumbang di tangan Pakatan Harapan semasa pilihan raya umum tahun lalu.

Mengimbas detik-detik sebelum pilihan raya ke-14 itu, A Kadir Jasin mengingatkan kembali bagaimana pihak istana dan pembesar yang secara terbuka menghina Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

“Malah secara terang-terangan mereka berkempen bagi pihak bekas perdana menteri Najib Razak dan BN.

“Secara tersirat, apabila rakyat jelata menolak Najib dan BN, rakyat jelata juga menolak campur tangan mereka atau lebih teruk menolak ‘daulat’ mereka,” katanya dalam satu catatan di blog, hari ini.

Kadir, yang juga adalah penasihat media dan komunikasi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, menimbulkan perkara ini apabila mengingatkan pemimpin Bersatu bahawa mereka sewajarnya setia kepada kepimpinan dan perjuangan parti.

Menurut beliau, pemimpin dan ahli parti yang setia kepada pihak lain adalah pengkhianat dan tidak layak menganggotai parti.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu itu berkata isu itu timbul dalam perbincangannya dengan pemimpin dan ahli Bersatu di Johor Sabtu lalu.

“Bukan rahsia lagi bahawa Bersatu di Johor – macamlah Umno dulu – mengalami masalah kesetiaan yang berbelah bagi akibat peranan istana.

“Di semua negeri yang ada raja, memang semua pemimpin politik dan rakyat jelata wajib setia kepada raja sebagai ketua negeri.

“Tetapi tugas mentadbir negeri adalah hak dan tanggungjawab pemimpin yang dipilih oleh rakyat jelata…

“Mereka yang berhak dan berkewajipan memerintah dan mentadbir negeri. Raja adalah ketua negeri dan bukan ketua pentadbir. Ketua pentadbiran di negeri-negeri beraja adalah menteri besar,” katanya.

Justeru, Kadir berkata nasihatnya kepada ahli Bersatu adalah jangan pilih atau undi pemimpin yang tidak setia dan tidak ikut arahan parti.

Sehubungan itu, menurutnya, di semua negeri, Bersatu diketuai oleh Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Johor, Mazlan Bujang, yang juga adalah Adun Puteri Wangsa.

“Jadi dialah ketua Bersatu. Hendak tidak hendak, semua ahli dan pemimpin Bersatu, termasuklah yang jadi menteri besar, exco dan Adun, kenalah terima dia sebagai ketua mereka.

“Mana-mana yang tidak terima beliau atau tidak tunjuk hormat kepada beliau samalah dengan tidak terima dan tidak hormat keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) di Kuala Lumpur.

“Kalau mereka keras kepala juga atau tunduk kepada kuasa lain, ahli Bersatu jangan undi mereka dalam pemilihan parti di semua peringkat,” kata Kadir.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda