Saksi tak nampak ‘sumbangan RM2j’ diguna untuk Umno


shadow

KES KU NAN | Seorang saksi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa tiada transaksi bayaran RM2 juta daripada akaun Tadmansori Holdings Sdn Bhd, yang mana Tengku Adnan Tengku Mansor pemegang saham terbesar di syarikat berkenaan, kepada akaun Umno.

Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhamad Saad Bordani, 37, berkata hasil siasatannya juga ‘tak nampak’ duit itu digunakan untuk Umno atau bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Selangor dan PRK Kuala Kangsar.

Disoal Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri mengenai tindakannya selepas Pengarah Urusan Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd, Chai Kin Kong memberi keterangan bahawa pembayaran RM2 juta itu sumbangan politik dari syarikat itu kepada Umno, saksi itu berkata, beliau mendapatkan semua dokumen berkaitan transaksi RM2 juta di syarikat Aset Kayamas dan syarikat Tadmansori Holdings

“Hasil siasatan di syarikat Tadmansori Holdings pula ada duit masuk ke Tadmansori (daripada Aset Kayamas) tetapi tiada duit keluar dari Tadmansori Holdings kepada Umno. Saya juga tidak nampak duit itu dibelanjakan untuk PRK (Sungai Besar dan Kuala Kangsar),” katanya pada hari ke-12 perbicaraan kes rasuah RM2 juta yang dihadapi bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu.Iklan

Saksi pendakwaan ke-23 itu berkata, pada peringkat awal siasatan, pegawai penyiasat SPRM melakukan penggeledahan di Aset Kayamas dan mendapati tiada transaksi RM2 juta dibuat kepada Umno.

“Kami minta syarikat (Aset Kayamas) serahkan semua dokumen berkaitan transaksi kepada SPRM. 

“Syarikat tahu dokumen berkaitan pembayaran RM2 juta perlu diserahkan kepada SPRM dan sepatutnya dia tahu kita perlukan resit itu.

“Dalam siasatan saya tiada transaksi dari Aset Kayamas kepada Umno sebaliknya duit itu dibayar kepada Tadmansori. Jadi kenapa Umno perlu keluarkan resit sedangkan duit masuk kepada Tadmansori,” katanya apabila Haderiah meminta saksi itu menjelaskan kenyataannya bahawa tiada tindakan lanjut dibuat oleh pegawai penyiasat bagi mendapatkan resit atau dokumen.

Terdahulu, semasa disoal balas peguam Tengku Adnan, Tan Hock Chuan adakah terdapat unsur politik dalam siasatan kes rasuah RM2 juta itu, Muhamad Saad berkata tiada unsur politik dan bukan arahan daripada ‘political master’ dalam siasatan berkenaan.

“Adakah siasatan dijalankan kerana terdapat arahan daripada ‘political master’,” tanya Tan.

“Tidak,” jawab Muhamad Saad.

Pada 2 Julai lepas, saksi pendakwaan keempat, bekas pemandu peribadi kepada Tengku Adnan memberitahu mahkamah bahawa beliau telah diminta oleh bekas menteri Wilayah Persekutuan itu untuk mendepositkan cek berjumlah RM2 juta ke dalam akaun milik syarikat Tadmansori Holdings.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di Kuala Lumpur pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di peringkat kes pendakwaan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan berakhir hari ini dengan 23 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dan mahkamah menetapkan 4 Oktober untuk kedua-dua pihak berhujah.

– Bernama

Tinggalkan komen anda