Saksi tak pernah lihat resit RM2 juta sebelum bicara


shadow

Seorang saksi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau tidak pernah melihat resit pembayaran RM2 juta yang diberikan Tengku Adnan Tengku Mansor kepada Pengarah Urusan Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd, Chai Kin Kong sebelum perbicaraan kes rasuah bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu bermula.

Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhamad Saad Bordani, 37, berkata beliau hanya melihat salinan resit tersebut menerusi Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim apabila dokumen (resit) itu ditunjukkan oleh Chai semasa perbicaraan.

“Saya pernah melihat salinan sahaja (resit) apabila Chai Kin Kong tunjuk resit itu semasa perbicaraan,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Hadariah Siri pada hari ke-11 perbicaraan kes rasuah RM2 juta yang dihadapi Tengku Adnan.

Saksi pendakwaan ke-23 itu berkata beliau menerima arahan daripada Julia untuk mencari buku resit rasmi setelah Chai mengemukakan resit berkenaan semasa perbicaraan.Iklan

Selain siasatan dokumen, Muhamad Saad berkata beliau ada menerima satu buku resit daripada pejabat Umno.

Hadariah: Encik Saad terima buku resit itu daripada siapa?

Muhamad Saad: Saya terima daripada Nik Faiez (Penolong Penguasa SPRM, Nik Muhamad Faiez Idris)

Hadariah: Bagaimana Nik Faiez serahkan buku resit itu?

Muhamad Saad: Saya terima melalui dia (Nik Faiez) selepas saya arahkan dia membuat pemeriksaan di Pejabat Umno (Ibu Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra PWTC) .

Muhamad Saad berkata selepas menerima buku resit rasmi Umno itu daripada Nik Faiez, beliau menyemak buku tersebut dan mendapati tiada salinan pendua resit pembayaran berkenaan di dalamnya.

“Saya semak buku resit itu dan dapati tiada salinan pendua resit bagi nombor siri 376241 (resit pembayaran RM2 juta) dalam buku resit rasmi Umno,” kata Muhamad Saad.

Pada 17 Julai lepas, Chai, 60, saksi pendakwaan ke-19 telah menunjukkan resit pembayaran tersebut kepada mahkamah semasa memberi keterangannya.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

– Bernama

Tinggalkan komen anda