‘Saya sedia ditukar’


shadow

MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pertukaran portfolio sekiranya penyusunan semula Kabinet dilaksanakan.

Beliau berkata, setiap menteri pastinya perlu akur dengan sebarang keputusan dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sebagai menteri kita tidak boleh mengatakan kementerian itu milik kita dan pada bila-bila masa boleh dikeluarkan termasuk diganti dengan orang lain.

“Prestasi kerja saya bukan dinilai diri sendiri sebaliknya orang lain dan bagi tahun ini mendapat 93 peratus dalam Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) sebagai menteri,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Prestasi Pelancongan Separuh Tahun Pertama 2019 di kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Semalam Dr Mahathir menegaskan, tiada menteri baharu akan dilantik dalam Kabinet, sebaliknya mungkin berlaku pertukaran kecil portfolio menteri.

Perdana Menteri berkata, beliau ada menyatakan dalam mesyuarat Kabinet mengenai cadangan melakukan sedikit pertukaran portfolio namun belum memutuskan bila dilaksanakan.

Sementara itu menurut sumber, pertukaran itu dijangka diumum Rabu ini selepas Perdana Menteri mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendapat perkenan.

Dalam pada itu Mohamaddin turut membidas kenyataan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang mencadangkan beliau salah seorang daripada empat menteri yang bakal digugurkan jika Perdana Menteri berhasrat merombak Kabinet.

“Beliau (Presiden GERAKAN) boleh berkata apa saja namun sebarang keputusan terletak di tangan Perdana Menteri,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda