‘Serangan ke atas semua rakyat’ – Syed Saddiq sokong gesaan usir Zakir


shadow

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata kenyataan pendakwah kontroversial Zakir Naik yang mengenai peganut agama Hindu dan masyarakat Cina di negara ini adalah serangan ke atas semua rakyat Malaysia dan menyeru agar dia diusir.

“Ya,” katanya kepada wartawan ketika ditanya apakah beliau menyokong gesaan rakan kabinetnya – Gobind Singh Deo, M Kulasegaran dan Xavier Jayakumar – yang menuntut pengusiran warga India itu kerana membuat komen sensitif berhubung kaum dan agama.

“Serangan ke atas saudara Cina dan India kami adalah serangan terhadap semua rakyat Malaysia,” katanya dalam kumpulan Whatsapp media.

Pendakwah itu membuat kenyataan berkenaan minggu lalu semasa ucapannya di sebuah ceramah di Kota Bharu anjuran kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS.

Zakir antara lain dilaporkan berkata, penganut agama Hindu di Malaysia lebih menyokong Perdana Menteri India Narendra Modi daripada Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad.

Beliau kemudian menjelaskan bahawa ucapannya itu diambil di luar konteks dan menjelaskan ada beberapa kumpulan Hindu di negara ini memilih untuk menyokong Modi, berbanding Dr Mahathir, dalam isu permohonan New Delhi untuk mengekstradisinya.

Pada syarahan yang sama itu, Zakir juga berkata pihak yang mahu dirinya sebagai tetamu baru keluar, harus menghantar orang China selaku “tetamu lama” keluar dari negara ini, terlebih dahulu.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata rakyat keturunan Cina di Malaysia bukanlah “tetamu” tetapi adalah warganegara Malaysia yang cintakan negara ini.

Katanya, mereka juga tidak boleh mempersoalkan kesetiaan rakyat Malaysia.

“Saya tahu ramai orang Cina dan India yang sanggup mati demi negara yang mereka cintai ini.

“Tidak masuk akal untuk menganggap rakyat Malaysia itu adalah tetamu saya.

“Mereka adalah keluarga saya. Cukuplah,” katanya.

Zakir, yang menjadi buruan oleh pihak berkuasa di India atas dakwaan pengubahan wang haram bernilai lebih 1.93 bilion rupee (RM115.66 juta), kini bertaraf penduduk tetap Malaysia.

Kerajaan India pada 19 Januari 2018 mengemukakan permohonan rasmi untuk membawanya pulang.

Dr Mahathir walau bagaimanapun membantah ektradisi kerajaan India itu dan menegaskan Malaysia tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya Zakir dihantar pulang ke India selagi pendakwah itu tidak dijamin mendapat perbicaraan yang adil di sana.

  • malaysiakini


Tinggalkan komen anda