Sesak tujuh kilometer, treler terbalik


shadow

LEBUHRAYA Utara Selatan sesak tujuh kilometer (KM) hari ini, selepas treler muatan batu kerikil kemalangan dengan pacuan empat roda di KM 256.1 arah utara berhampiran Terowong Menora di Kuala Kangsar.

Kemalangan pada 12.10 tengah hari itu menyebabkan pemandu treler meninggal dunia, manakala pemandu pacuan empat roda, cedera.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, laluan berkenaan terhalang sepenuhnya disebabkan treler melintang di atas jalan.

Katanya, laluan kontra terpaksa dibuka bagi membolehkan pengguna lebuh raya meneruskan perjalanan.

“Pemandu treler M Lithiskumar yang berusia 32 tahun maut di lokasi kejadian, lelaki usia 32 tahun yang memandu pacuan empat roda pula cedera di bahagian pinggang dan penumpang wanita berusia 33 tahun tidak cedera.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila treler itu yang dalam perjalanan ke Taiping, dipercayai terlanggar bahagian belakang pacuan empat roda itu yang berada di lorong kiri.

“Pelanggaran menyebabkan kedua-dua kenderaan terbalik, dengan pacuan empat roda memasuki longkang di bahu kiri jalan dan treler menghalang laluan hingga sesak tujuh kilometer,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Asisten Komisioner Razali Ibrahim ketika dihubungi berkata, pihak PLUS membuka laluan kontra di KM256.3 hingga KM253.9 berhampiran lokasi kemalangan dalam proses mengurangkan kesesakan.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memberitahu, menerima panggilan kejadian pada 12.29 tengah hari dan mendapati mangsa sudah dikeluarkan orang awam.

“Pemandu lori pula disahkan maut di tempat kejadian dan bomba membantu mengangkatnya menggunakan pengusung sebelum menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada 1.46 tengah hari,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda