Skuad ragbi veteran PDRM jaguh di China


shadow

SKUAD ragbi veteran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dinobat juara acara ragbi tujuh sepasukan selepas menewaskan New South Wales Fire & Rescue Services di Kejohanan Sukan Polis dan Bomba Sedunia (WPFG) 2019 berlangsung di Kompleks Sukan Chengdu Blades, Chengdu, China, hari ini.

Skuad ragbi PDRM bagi kategori usia 45 tahun ke atas terbukti berada di kelas tersendiri apabila bangkit dari ketinggalan 7-17 di separuh masa pertama seterusnya menewaskan pasukan bomba New South Wales, 19-17 dalam kejohanan berlangsung dua hari bermula 14 Ogos lalu.

Kejayaan itu menamatkan penantian 24 tahun skuad ragbi PDRM selepas menang kali pertama pada 1995.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman merangkap pengurus pasukan, Datuk Zamri Yahya berkata, perlawanan kedua-dua pasukan sengit dan pihaknya berbangga dengan semangat juang dipamerkan pemain negara.

“Pasukan lawan yang rata-rata fizikal mereka lebih besar dan berat berbanding pemain PDRM mendahului 12-0.

“Tapi di pertengahan perlawanan PDRM yang lebih pantas berjaya bangkit dan seterusnya menewaskan mereka 19-17,” katanya dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Skuad Ragbi Veteran PDRM rai kejuaraan di China.

Beliau berkata, kejohanan itu diadakan setiap dua tahun sekali dan menjadi acara sukan terbesar yang ke-8 selepas Sukan Olimpik.

“Pasukan Ragbi PDRM pertama kali menyertai kejohanan ini di Melbourne, Australia bagi kategori umur 35 tahun dan muncul juara. Jadi kemenangan di Chengdu, China ini adalah yang kedua,” katanya.

Terdahulu, PDRM yang dibimbing ketua jurulatih, Deputi Superintendan Zainal Abidin Othman berjaya menewaskan Italia Fire Services 2 dengan mata 24-12 dan Hong Kong Fire Services (31-5) untuk ke final menentang pasukan bomba New South Wales.

  • myMetro

Tinggalkan komen anda