Speaker Dewan Negara terima penjelasan Liew kes jam tangan mewah


shadow

Yang Dipertua Dewan Negara S Vigneswaran menerima penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong mengenai kenyataannya sebelum ini kepada senat mengenai satu kes rasuah.

Pada 25 Julai lalu, Liew mendakwa beliau difahamkan SPRM telah memberi “pelepasan” kepada setiausaha politik di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani selepas mendengar penjelasan sumber wang untuk membeli jam tangan mewah itu.

Ini mencetuskan kekeliruan kerana SPRM kemudiannya berkata kes itu masih menunggu keputusan daripada Pejabat Peguam Negara.

Bagaimanapun, menurut Vigneswaran, menteri undang-undang itu telah menghantar surat menjelaskan ketika beliau mengeluarkan kenyataan itu, beliau juga telah membataskannya dengan mengatakan tidak pasti mengenai status kes itu.Iklan

“Pada pendapat saya, penjelasan di dalam surat itu munasabah bahawa beliau telah mengatakan mengenai ketidakpastian terhadap keputusan SPRM itu,” katanya memberitahu Dewan Negara hari ini.

Vigneswaran membuat keputusan itu selepas senator MCA Ti Lian Ker meminta isu ini dibincangkan.

Ti mengemukakan suatu usul mengenai perkara itu tetapi ditolak oleh Vigneswaran.

Selain keliru dengan kenyataan Liew, Ti juga membangkitkan kritikan setiausaha sulit Liew terhadap MCA ketika menjelaskan kenyataan menteri di JPM itu.

Setiausaha sulit menteri itu, Mohd Hanafiah Sahih Montoi berkata jika MCA prihatin terhadap anti-rasuah, ia sepatutnya tidak mengundi menolak usul yang mewajibkan semua senator mengisytiharkan harta mereka.

“Apabila kami mengundi, kami mempunyai tujuan dan kami telah membuat kelayakan tertentu, oleh demikian, adalah tidak wajar untuk memperkecil senator yang tidak menyokong undi itu dan ia bersamaan dengan intimidasi atau buli melalui media,” kata Ti.

Walau bagaimanapun, Vigneswaran berkata kenyataan setiausaha sulit itu tidak menjadi persoalan kerana dia bukan anggota Dewan Negara dan juga tidak menyebut perkataan tersebut di dalam senat.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda