Teruja terbangkan pesawat Hari Merdeka


shadow

MENERBANGKAN pesawat sempena Hari Merdeka sudah pasti mengujakan apatah lagi disaksikan pemimpin negara dan rakyat.

Itu pengalaman Pegawai Pemerintah No 1 Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Leftenan Kolonel Syed Faisal Syed Abdul Kadir, 47, selepas tiga kali terbabit dalam penerbangan lintas hormat sempena sambutan kemerdekaan negara.

Menurutnya, menerbangkan pesawat CN235 sempena sambutan kemerdekaan memerlukan kepakaran dan pengalaman tinggi kerana membabitkan formasi yang turut disertai pelbagai pesawat dan helikopter.

“Koordinasi kedudukan dan masa yang tepat antara pesawat sudah pasti menjadi cabaran utama ketika menerbangkan pesawat pada hari bersejarah ini kerana memerlukan perancangan dan taklimat menyeluruh semua yang terbabit.

“Juruterbang dan pembantu juruterbang serta krew perlu peka dengan keadaan sekitar serta kedudukan pesawat lain yang turut terbang pada altitud rendah selain dikelilingi bangunan tinggi kerana keselamatan menjadi keutamaan,” katanya yang berpengalaman 28 tahun menerbangkan pelbagai jenis pesawat angkut termasuk Caribou.

Beliau berkata, bagi sambutan kemerdekaan ke-62 tahun ini, No 1 Skuadron yang berpangkalan di Kuching, Sarawak akan menerbangkan tiga pesawat CN235 dengan formasi ‘arrow’ ketika penerbangan lintas hormat di Putrajaya nanti.

Katanya, koordinasi antara pesawat dititik berat kerana mempunyai kelajuan berbeza namun perlu terbang mengikut masa yang ditetapkan ‘ground controller’ untuk memastikan kelancaran.

“Tahun ini saya akan menerbangkan pesawat CN235 dan sebagai juruterbang sudah pasti teruja kerana menjadi sebahagian daripada peristiwa bersejarah ini.

“Kami sudah memulakan penerbangan latihan di Kuching sejak beberapa hari lalu sebelum menyertai latihan dalam skala besar bersama pesawat lain termasuk helikopter dan jet pejuang menjelang 31 Ogos nanti,” katanya.

Syed Faisal berkata, pada 31 Ogos nanti rakyat Malaysia dapat melihat lebih dekat pesawat TUDM selain membuktikan kemampuan juruterbang yang mampu menjalankan tugas operasional dan penerbangan lintas hormat.

-myMetro

Tinggalkan komen anda