‘Tolong cari wali saya’


shadow

WANITA yang bakal melangsungkan perkahwinan pada bulan depan berharap dapat menemui bapa kandung untuk menjadi wali pernikahan selepas usaha menjejaki lelaki itu sejak tiga bulan lalu gagal.

Noor Iliani Che Razali, 22, dari Kampung Wakaf Tapai, Marang, berkata, dia terpisah dengan bapanya, Che Razali Che Mat, 62, selepas bapanya berpisah dengan ibu, Zaiton Ngah, 55, ketika dia berusia lapan bulan pada 1997.

“Saya mengenali ayah ketika berusia 15 tahun dan kali terakhir berjumpanya pada 2013 dan ketika itu ayah difahamkan tinggal di Pasir Gudang, Johor.

“Saya tidak lagi menemuinya lagi selepas itu dan usaha menjejakinya termasuk menghubunginya melalui alamat diberikan di Pasir Gudang gagal.

“Saya tidak pasti ayah berada di mana sekarang dan berharap orang ramai yang mengenali ayah segera menghubungi serta memberi maklumat mengenainya,” katanya.

Menurutnya, dia dan keluarga berharap dapat menjejaki bapanya kerana dia dan bakal suami, Mohd Azri Aizat Zakaria, 25, sudah menetapkan 19 September ini sebagai tarikh perkahwinan mereka.

Orang ramai yang mengenali Che Razali boleh menghubungi Noor lliani di talian 013-7442457.

-myMetro

Tinggalkan komen anda